Kempen PRK Kuala Kubu Baharu tidak terjejas

KANGAR - Kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu tidak terjejas ekoran penahanan anak kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berhubung kes tuntutan palsu pada Rabu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, situasi hampir sama pernah berlaku kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2009.

Beliau berkata, Allahyarham sendiri pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penajaan mengerjakan umrah oleh seorang ahli perniagaan.

"Isu yang berlaku di Perlis ini tidak memberi kesan kepada PRK Kuala Kubu Baharu terutama pada kempen PN kerana situasi ini pernah terjadi kepada bekas Menteri Besar Kelantan.

"Arwah disiasat kononnya ditaja oleh seorang ahli perniagaan untuk menunaikan umrah," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Dewan 2020 di sini, pada Sabtu.

Takiyuddin berkata, Pas berpendirian terbuka dalam hal tersebut.

Beliau yang juga Ketua Whip PN berpandangan, PN juga boleh disiasat mengikut undang-undang dan tuduhan boleh dilakukan di mahkamah sekiranya ada asas kuat.

Menurut beliau lagi, isu itu juga bukanlah satu 'tembakan peluru politik' kepada PN dan Pas memandangkan ada juga orang lain yang menghadapi pertuduhan sama.

Beliau menambah, SPRM diharapkan terus bertindak secara profesional tanpa memilih bulu dalam hal melibatkan kesalahan.

"Jika ada kesalahan rasuah sama ada daripada kerajaan atau pihak lain kena ambil tindakan, (sekali gus) tidak boleh ada 'double standard' dalam hal ini," katanya.

Menurutnya lagi, beliau melahirkan kepercayaan bahawa SPRM bertindak secara profesional dan berharap ia dapat diteruskan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PN dilihat mempunyai peluang cerah untuk menawan DUN Kuala Kubu Baharu.

Kata Takiyuddin, faktor keluar mengundi diyakini mampu menjadi faktor kepada kemenangan PN pada pilihan raya itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut meluahkan keyakinan bahawa isu di Perlis tidak sedikit menganggu perjalanan PRK dan tumpuan PN.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Mohd Shukri yang terbuka untuk sebarang siasatan dilakukan SPRM.

"(Lagipun) seseorang itu belum lagi bersalah selagi mana mahkamah tidak belum buat keputusan bersalah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!