Tidak perlu gopoh bocor draf perjanjian peruntukan pembangkang

SHAH ALAM - Blok pembangkang terutamanya Perikatan Nasional (PN) disaran tidak terlalu gopoh dalam membocor atau mengumumkan inti pati draf perjanjian peruntukan pembangkang yang sedang dirunding bersama kerajaan selagi ia belum dimuktamadkan.

Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, merangkap Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, langkah sebegini dibimbangi akan menunjukkan sikap pembangkang yang tidak matang dan profesional dalam memeterai sesuatu perjanjian penting bersama kerajaan.

Ujarnya, pembangkang seharusnya mencontohi perjanjian persefahaman ditandatangani antara kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2021.

“Sejak awal memang agak pelik apabila pembangkang mengumumkan persetujuan tersebut secara sebelah pihak.

“Persefahaman sebegini besar dan penting biasanya akan diumumkan oleh kedua-dua pihak melalui kenyataan bersama apabila persefahaman dicapai dan perjanjian berjaya ditandatangani.

“Untuk menjayakan sesuatu rundingan penting, pihak terlibat perlu lebih matang dan bersabar. Jangan terlalu gopoh membocor atau mengumumkan isi rundingan selagi belum dimuktamadkan secara tuntas,” katanya.

Di sebalik polemik terkini draf perjanjian peruntukan berkenaan, Mohd Yusri masih berpandangan satu perjanjian berbentuk perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) perlu dimeterai dan diteruskan demi kepentingan negara.

Ujarnya, banyak kebaikan akan diperoleh daripada CSA ini seperti ia bakal menyumbang kepada kestabilan politik dalam negara apabila pembangkang tidak lagi meneruskan hasrat untuk membentuk kerajaan di luar musim pilihan raya.

“Jika CSA masih gagal ditandatangani, banyak masa akan dihabiskan untuk politiking, menyebabkan fokus untuk kepentingan rakyat dan negara terabai,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengesahkan pihaknya masih belum meneliti atau menerima kandungan draf perjanjian yang memperincikan pemberian peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Maaf saya tidak pernah tengok atau menerima sebarang draf perjanjian daripada pihak kerajaan,” katanya ringkas melalui kiriman mesej di WhatsApp.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!