Jamin ketelusan agihan wang rakyat

SHAH ALAM - Seorang wakil rakyat DAP mencadangkan agar satu model perjanjian peruntukan pembangunan kawasan tahunan yang standard kepada ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat diwujudkan bagi menyelesaikan pertikaian terhadap isu berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari berkata, cadangan itu penting bagi memastikan terma persetujuan pemberian peruntukan berkenaan dapat dikemukakan kerajaan secara telus dengan proses agihannya tidak disalahgunakan wakil-wakil rakyat pembangkang.

Jelasnya, sehingga kini belum wujud sebarang model standard bagi perjanjian itu disebabkan ia hanya terlaksana sewaktu pentadbiran kerajaan pada zaman Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP Perak itu menegaskan, model perjanjian peruntukan pembangunan untuk wakil rakyat pembangkang perlu diwujudkan bersama dengan penggubalan Akta Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan pengagihan wang rakyat.

“Perjanjian zaman Datuk Ismail Sabri adalah lebih mudah kerana senario politik ketika itu berbeza di samping Pakatan Harapan (PH) sendiri memiliki iltizam politik untuk bersama-sama kerajaan menstabilkan politik negara.

“Saya fikir perjanjian peruntukan (kepada wakil rakyat pembangkang) ini sukar direalisasikan segera kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan kerajaan termasuk soal amaun, kaedah agihan peruntukan dan sebagainya.

“Setakat ini, kita masih belum ada model perjanjian standard termasuk model agihan peruntukan kepada kerajaan negeri pembangkang. Saya percaya ia perlu diwujudkan, tetapi harus bersekali dengan penggubalan Akta Pendanaan Politik,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pertikaian draf perjanjian peruntukan pembangunan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini.

Di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, Hamzah berkata, pihaknya mewakili Perikatan Nasional (PN) mendakwa sudah menerima suatu draf dokumen yang memperincikan cadangan pemberian peruntukan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu daripada Bersatu, Datuk Rosol Wahid pula memberitahu Sinar Premium bahawa Ahli Parlimen PN menuntut peruntukan RM3.5 juta setahun dalam ‘draf tawaran perjanjian baharu’ itu.

Pendedahan Hamzah dan Rosol itu kemudiannya dinafikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilantik menjadi wakil Kerajaan Madani bagi merundingkan perkara berkenaan bersama blok pembangkang.

Tegas Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, beliau tiada menyerahkan sebarang draf seperti didakwa melalui pertemuan dengan Hamzah.

Kenyataan Fadillah kemudiannya disangkal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyerahkan ‘draf perjanjian’ melalui ‘wakilnya’ kepada Hamzah.

Di sebalik cadangan itu, Abdul Aziz bagaimanapun menolak dakwaan kononnya kerajaan sedang berdolak-dalik dalam merealisasikan perjanjian agihan peruntukan berkenaan.

“Dakwaan kononnya Kerajaan Madani meminggirkan kawasan wakil rakyat pembangkang adalah tidak tepat. Peruntukan pembangunan kawasan sememangnya sudah disediakan kepada semua agensi kerajaan terlibat, sama ada di peringkat daerah dan negeri.

“Cuma ia tidak sampai ke tangan mereka (ahli Parlimen pembangkang) sahaja. Selagi kita tidak menafikan hak rakyat di kawasan, tidak bermakna kerajaan tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Politik, Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah membayangkan perjanjian peruntukan pembangkang mungkin tidak akan direalisasikan sekurang-kurangnya sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu.

Jelasnya, hal ini kerana rundingan perjanjian ini bukan lagi berkisarkan soal mempertahankan legitimasi Perdana Menteri sebagaimana berlaku pada zaman Ismail Sabri.

Sebaliknya beliau berkeyakinan ia bakal menjadi simbolik sama ada Kerajaan Madani ini kekal bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) atau sebaliknya.

“Dengan iltizam politik pihak kerajaan dan pembangkang untuk memuktamadkan perjanjian itu hampir tiada, saya fikir ia sukar dimeterai.

“Ini kerana blok pembangkang masih percaya ruang untuk menjatuhkan kerajaan semasa masih wujud, manakala pihak kerajaan pula optimis mereka mampu kekal mentadbir sehingga habis penggal,” ujarnya.

Tambah Mohd Azmir, kerajaan mahu pun blok pembangkang pasti akan mengambil langkah berhati-hati untuk tidak terlalu tergesa-gesa menandatangani perjanjian peruntukan ahli Parlimen pembangkang.

“Tetapi dengan dinamik politik tanah air semakin memuncak pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di enam negeri tahun lalu, saya fikir pertaruhan kerajaan terhadap masa hadapan kerajaan ini pada PRK Kuala Kubu Baharu adalah sangat tinggi.

“Ditambah defisit kepercayaan terhadap Kerajaan Madani semakin merosot, saya percaya PRK Kuala Kubu Baharu bakal menjadi penentu sama ada hayat kerajaan ini mampu kekal bertahan atau tidak.

“Jika calon kerajaan tewas, maka saya yakin perjanjian peruntukan pembangkang ini bakal direalisasikan kerajaan demi kelangsungan politik mereka,” katanya.