Pengundi luar dirayu balik mengundi Sabtu ini

PEKAN - Pengundi luar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dirayu pulang menunaikan tanggung jawab mereka pada hari pengundian Sabtu ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, undi lebih 8,000 pengundi luar bagi DUN Chini sangat penting.

"Kita harap undi mereka kepada calon BN, Mohd Sharim Md Zain sebagai tanda sokongan kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

"Jadi saya merayu mereka balik, datang mengundi awal, jangan lupa bawa kad pengenalan dan patuhi segala garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Penyembelihan Syarie dan Seminar Fiqh Wanita Peringkat Negeri Pahang di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3 di sini hari ini.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan kempen sepanjang bermula selepas hari penamaan calon pada 20 Jun lalu.

"Semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Semuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun ada yang terlanggar secara tidak sengaja," katanya.

Menurutnya, beliau menghargai dan berterima kasih atas teguran Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pihak SPR yang sentiasa mengingatkan petugas kempen mematuhi SOP di lokasi berkempen.

Mohd Sharim Md ZainPRK Chini

Berita Popular

Video Popular