'PRK kali ini bukan biasa-biasa'

PETALING JAYA - Rakyat perlu bangkit menyokong pembangkang dalam PRK Dun Seri Setia sebagai isyarat terhadap kegagalan kerajaan PH melaksanakan janji 100 hari.

Calon Pas PRK Dun Seri Setia, Dr. Halimah Ali, berkata, beliau melihat perlunya sokongan berkenaan untuk mengangkat suara rakyat dalam isu-isu berbangkit melibatkan kerajaan.

Ini kerana menurutnya, suara wakil rakyat yang mewakili kerajaan tidak akan sama dengan suara pembangkang yang akan memberi tekanan berbeza memastikan nasib rakyat lebih terbela.

"PH bukan pembangkang maknanya mereka sama parti dan kena sama suara... kalau dia pembangkang, dah jadi lain. Jadi walaupun tambah satu lagi kerusi, bergantung kepada kualiti pembangkang, ia akan beri kesan yang besar.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Seri Setia: Dr Halimah perlu letak jawatan Lembaga PPAS]

"Namun bukan itu paling penting. Saya mahu mewakili seluruh rakyat bukan hanya di Dun Seri Setia atau Selangor tetapi rakyat Malaysia. Bila ada suara dari wakil rakyat biasa, yang akan diberi mandat untuk mengangkat isu-isu, mereka (kerajaan) lebih prihatin peka dan ambil serius.

"PRK ini bukan pilihan raya biasa-biasa. Tetapi PRK selepas lebih 100 hari kerajaan PH... bagaimana prestasi mereka. Rakyat kena bangun menyatakan kepada PH bahawa rakyat peka dan jangan ambil mudah. Jadi saya punya perjuangan bukan saja untuk orang Pas, bukan saja  untuk orang yang tidak menyokong PH," katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Daging Korban, di Surau Darul Hidayah, PPRT Lembah Subang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berhubung kenyataan calon PH, Halimey Abu Bakar, yang yakin mampu mendapat sokongan daripada sesetengah penyokong 'senyap' Pas di kawasan itu, Halimah berkata, Pas juga tidak terkecuali untuk menyatakan keyakinan sama.

"Mungkin dia (Halimey) betul tetapi itu pada PRU14. Tapi dia tidak faham bahawa selepas PH menjadi kerajaan, bukan hanya pengundi 'senyap' Pas sudah bangkit, mahal pengundi lain juga, termasuk pengundi PH," katanya.

Dr. Halimah AliPRK Seri Setia Dr Halimah Ali Pas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :