Calon ditegur petugas SPR

ALOR GAJAH - Gara-gara memakai baju yang memaparkan gambarnya, calon PKR Parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Yusof ditegur seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika membuat lawatan di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Percha, tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, Mohd Redzuan yang mengenakan kameja T berwarna merah ditegur seorang petugas wanita yang memaklumkan tidak boleh memakai baju tersebut sebelum memintanya meninggalkan lokasi itu.

Mohd Redzuan yang baru beberapa minit tiba pada mulanya mempertikaikan keadaan berkenaan namun akhirnya akur dan berlalu pergi meninggalkan pusat mengundi selepas sempat bersalaman dengan beberapa penduduk selesai mengundi.

"Ini bukan lawatan pertama saya ke pusat mengundi, tadi saya dah pergi ke beberapa pusat mengundi namun tiada yang menghalang dan menegur, lagipun saya pakai baju gambar saya sendiri dan tak ada sebarang logo atau parti.

"Baju ini orang yang buatkan dan beri saya, tapi bila dia tak beri saya masuk tak apalah," katanya.

Pada hari pernamaan calon yang lalu, Mohd Redzuan pernah berdepan keadaan cemas apabila surat watikahnya 'hilang' ketika proses pendaftaran calon sebelum menemui surat tersebut di dalam fail simpanannya.

Mohd Redzuan YusofAlor Gajah PKR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :