Cikgu Azrin tekad selesai isu air di Merlimau

SHAH ALAM -  Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Azrin Ab Majid bertekad menyelesaikan isu kualiti air di Merlimau yang sering berlaku di kawasan itu.

Jelasnya, selain isu banjir kilat, isu air kotor juga merupakan isu yang sering menghantui penduduk kawasan luar bandar tersebut.

"Tahun ini saja dua kali kita dapat rungutan dari penduduk di sini - bekalan air kotor, kualitinya sangat teruk berwarna hitam, tak boleh digunakan sama ada untuk membasuh pakaian atau memasak."

"Jadi itu yang perlu kita tangani di Merlimau ini," katanya menerusi satu klip video di Youtube Suara Untuk Semua.

'Suara Untuk Semua' adalah saluran yang disediakan bagi setiap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyampaikan ideologi politik dan dihebahkan kepada pengundi menerusi Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

 

Hab pelancongan baru

Beliau yang dikenali dengan sapaan Cikgu Azrin juga mahu menjadikan Merlimau sebagai satu lagi hab pelancongan baru di negeri Melaka.

Katanya, Merlimau mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai destinasi pelancongan dengan makanan Melayu tradisional termasuk kuih-muih asli, ikan dan lauk-pauk. 

"Jika diurus dengan baik program-program pelancongan untuk menarik rakyat ke Merlimau ini, saya yakin penduduk Melaka boleh menjadikan Merlimau sebagai satu lagi tumpuan pelancong domestik dan luar negara," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Azrin bin Ab MajidPRN Melaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :