Chin Han tawar lima janji untuk Bemban

SHAH ALAM - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Koh Chin Han menjanjikan lima tawaran kepada pengundi DUN itu untuk memilihnya sebagai wakil rakyat di sana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Tawaran tersebut katanya, adalah merangsang ekonomi Melaka dan mewujudkan peluang pekerjaan yang dapat memanfaatkan penduduk Bemban.

"Selain itu, saya akan menyelesaikan masalah kesesakan trafik demi kesejahteraan hidup warga Bemban," katanya yang turut mahu membentangkan pelan mitigasi banjir kilat di kawasan tersebut.

Jelas bekas Pegawai Khas Ketua Menteri (KM) Melaka itu, beliau juga komited memupuk keharmonian antara kaum bersandarkan semangat kekeluargaan.

Tambahnya, wanita dan belia akan beliau perkasakan jika diberi kepercayaan untuk berkhidmat di Bemban.

 

Manfaat pengalaman pegawai khas KM

Terdahulu, beliau menegaskan latar belakang beliau dalam bidang sains sosial dan pengalaman sebagai Pegawai Khas Ketua Menteri Melaka akan digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat Bemban.

"Menerusi lima janji manifesto Chin Han, saya akan berusaha bersungguh-sungguh membangunkan Melaka," katanya dalam satu rakaman klip video di Youtube Suara Untuk Semua.

'Suara Untuk Semua' adalah saluran yang disediakan bagi setiap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyampaikan ideologi politik dan dihebahkan kepada pengundi menerusi Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 November lalu.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
 

Koh Chin HanPRN Melaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :