Kak Maz tekad ubah sosioekonomi penduduk Ayer Limau

SHAH ALAM - Pembangunan sosioekonomi adalah perkara yang menjadi fokus calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Mazenah Baharuddin.

Beliau yang juga dikenali sebagai 'Kak Maz' percaya PH mampu membantu dalam meningkatkan ekonomi masyarakat di negeri itu sekiranya diberikan mandat sekali lagi untuk menjadi kerajaan.

"Saya menanam satu tekad untuk bekerja dan berkhidmat sedaya mungkin yang ada dalam daya saya untuk meningkatkan sosioekonomi terutamanya bagi penduduk di DUN Ayer Limau.”

"Saya lihat DUN Ayer Limau mempunyai kawasan pertanian dan tanah yang subur. Penduduk di sini juga kebanyakannya adalah nelayan dan petani.

"Kita boleh fikirkan cara bagaimana untuk majukan lagi dua sektor ini untuk kebaikan penduduk," katanya menerusi satu klip video bertajuk ‘Suara Untuk Semua’ yang disiarkan di platform Youtube.

 

Selalu banjir

'Suara Untuk Semua' adalah saluran yang disediakan bagi setiap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyampaikan ideologi politik dan dihebahkan kepada pengundi menerusi Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

Mengulas lanjut, Mazenah berkata masalah banjir sering dialami oleh penduduk di kawasan DUN Ayer Limau.

"Rata-rata aduan yang kita terima adalah masalah banjir dan kalau berlaku (banjir) penduduk memang akan hadapi masalah seperti kerosakan harta benda, tanaman, ternakan dan perniagaan.

"Jadi kita akan berusaha dan berikhtiar untuk tangani masalah ini kerana bila kita dapat atasi masalah banjir ini maknanya kita boleh atasi masalah-masalah akibat daripada banjir," ujarnya.

Mazenah BaharuddinPRN Melaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :