Perang manifesto BN, PH

Sudah menjadi tradisi apabila menjelang pilihan raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), janji-janji dari setiap parti atau manifesto pastinya dinantikan pengundi.

Perang manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini bermula apabila Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan melancarkan manifesto masing-masing bagi memikat hati pengundi di Melaka.

Manifesto yang dilancarkan pastinya berlandaskan beberapa teras perjuangan yang dibawa setiap parti bagi memastikan kelestarian kehidupan rakyat khususnya di negeri tersebut.

 

BN perkenal lima teras, 103 inisiatif

Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata BN menampilkan lima teras utama dalam manifesto parti itu bagi menghadapi PRN Melaka kali ini.

Menurut Mohamad Hassan, lima teras manifesto tersebut merangkumi 103 inisiatif yang melibatkan pembangunan sektor pertanian, industri pelancongan, sokongan sosial komuniti, tadbir urus kerajaan dan pembangunan masyarakat orang asli.

Sementara itu,  Mohamad Hasan turut mengumumkan cadangan meminda Perlembagaan Negeri atas dasar kematangan politik.

Ia bagi tujuan melantik lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan termasuk dari kalangan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membuka ruang dan perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik.

 

PH lancar Maju Bersama Harapan

Selepas BN, giliran PH pula memperkenalkan manifesto parti tersebut iaitu Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang dibentangkan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil semasa membentangkan manifesto tersebut berkata ia mengandungi tiga teras dengan enam strategi serta 32 inisiatif sebagai pelan bertindak pentadbiran negeri Melaka.

Turut menarik perhatian dalam manifesto yang dibentangkan adalah kesediaan PH untuk menggubal enakmen Anti Lompat Parti bagi menjamin kestabilan negeri Melaka.

 

PN rahsiakan manifesto

Kem Perikatan Nasional (PN) pula masih merahsiakan manifesto yang ingin diberikan kepada rakyat Melaka serta memberikan bayangan akan mengumumkannya pada Ahad.

Penyelaras Gerak Kerja Penerangan Kempen PN bagi PRN Melaka, Badrul Hisham Shahrin berkata manifesto yang antara lain berjanji untuk mewujudkan kerajaan stabil di Melaka dan antirasuah itu akan dilancarkan secara hibrid oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad.

Bagaimanapun Badrul Hisham berkata waktu pelancaran manifesto tersebut masih belum dimuktamadkan.

Adly ZahariSulaiman Md AliPRN Melaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :