Strategi 'poster boy' merujuk kepada satu strategi mengangkat individu tertentu sebagai watak utama mewakili sesebuah parti dalam kempen.
Bagi situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 'poster boy' merujuk kepada calon Ketua Menteri Melaka dari setiap parti sekiranya berjaya mengungguli PRN kali ini dan membentuk kerajaan baharu.
Strategi tersebut yang kebiasaannya digunakan dalam setiap pilihan raya penting bagi membina dan menarik keyakinan pengundi untuk menyokong calon dari parti yang bertanding.
Memetik Bernama, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata amat penting untuk setiap parti bertanding menamakan siapakah calon Ketua Menteri.
Menurut Che Hamdan, selain untuk membina keyakinan rakyat, calon berkenaan mestilah individu yang berupaya menyatukan rakan-rakan komponen, agar tidak berlaku lagi insiden lompat parti.
Pandangan sama turut dilontarkan penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian yang menyifatkan kebarangkalian untuk sesebuah parti menang tanpa menamakan 'poster boy' adalah sukar.
Menurut beliau, ketiga-tiga gabungan besar yang bertanding dalam PRN perlu menamakan calon Ketua Menteri supaya pengundi dapat melihat dengan jelas hala tuju kerajaan yang dibina selepas PRN nanti.
Selepas beberapa hari proses kempen bermula, dilihat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah menunjukkan keseriusan apabila sudah menamakan calon Ketua Menteri dari parti masing-masing.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua Menteri sekiranya BN diberi mandat untuk membentuk kerajaan oleh rakyat dalam PRN pada 20 Nov ini.
Perkara tersebut diumumkan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media selepas melancarkan manifesto BN pada Rabu.
Menurut Mohamad, Sulaiman yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu itu mempunyai rekod bersih tanpa sebarang isu dan berharap rakyat Melaka dapat membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian.
Sementara itu, jentera PH juga telah menamakan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya parti berkenaan mendapat mandat rakyat pada 20 Nov ini.
Pengumuman Adly yang juga bekas Ketua Menteri sebelum ini dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan 'Maju Bersama Harapan, pada rabu.
Menurut Anwar, pemilihan Adly sebagai calon bagi jawatan tersebut setelah mengambil kira prestasi calon DUN Bukit Katil itu sepanjang tempoh 22 bulan memimpin kerajaan negeri pada era PH.
Sementara itu, kem Perikatan Nasional (PN) masih lagi berteka-teki dengan tidak menamakan sebarang calon untuk mengisi jawatan Ketua Menteri sekiranya gagasan itu berjaya mendapat rakyat Melaka pada 20 Nov ini.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata PN hanya akan mengumumkan siapa bakal menduduki kerusi ketua menteri apabila gagasan itu memenangi PRN Melaka.