PRN Melaka: BN umum 21 calon, lapan muka baharu

AYER KEROH – [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) mengumumkan 21 calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan lapan daripadanya merupakan muka baharu.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional Negeri Melaka sempena PRN Melaka ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Sabtu.

Lapan calon baharu itu ialah Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (Lendu), Ahmad Norazril Abd Aziz (Rembia), S Nadarajah (Gadek), Datuk Dr Mustafa Musa (Durian Tunggal), Siti Aisyah Mahmood (Pengkalan Batu), Datuk Ridhwan Ali (Ayer Molek), Datuk Azman Abdullah (Serkam) dan Jezlee Pit (Sungai Rambai).

Sementara itu, Ab Rauf kekal sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, manakala penyandang DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar, dan DUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, turut dikekalkan.

Dalam pada itu, Ab Rauf berharap calon yang dipilih dapat bekerja lebih keras bagi memastikan BN memperoleh kemenangan di kawasan yang ditandingi pada 14 November ini.

“Jadi, saya harap mereka yang terpilih sebagai calon ini mestilah bekerja dengan lebih kuat dan mantap supaya pada 14 haribulan nanti boleh menunjukkan kecemerlangan dalam memenangi kerusi kawasan yang dipertandingkan,” katanya.

Mengulas mengenai beberapa penyandang yang tidak dicalonkan semula, beliau berkata, mereka bukan digugurkan, sebaliknya BN memberi ruang kepada calon baharu untuk meneruskan khidmat kepada rakyat.

“MCA kekal dua kerusi yang menang dan MIC satu kerusi.

“Saya tidak menggugurkan. Sebab apa, Dewan telah dibubarkan. Jadi, kita memilih calon-calon baharu yang boleh meneruskan perkhidmatan kepada rakyat tempatan.

"Jadi mereka-mereka yang ada yang tidak mahu lagi meneruskan jawatan. Ada pada pandangan kita memberikan ruang kepada muka-muka baharu untuk terus memberikan perimatan kepada kawasan-kawasan yang telah kita membuat kajian," katanya.

BN akan bertanding pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November, dengan penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Berikut merupakan senarai calon BN bagi PRN Melaka:

* N01 Kuala Linggi – Datuk Rosli Abdullah

* N02 Tanjung Bidara – Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

* N03 Ayer Limau – Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer

* N04 Lendu – Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid

* N05 Taboh Naning – Datuk Zulkiflee Datuk Seri Mohd Zin

* N06 Rembia – Ahmad Norazril Abd Aziz

* N07 Gadek – S Nadarajah

* N08 Machap Jaya – Datuk Ngwe Hee Sem

* N09 Durian Tunggal – Datuk Dr Mustafa Musa

* N10 Asahan – Datuk Fairul Nizam Nizam Roslan

* N11 Sungai Udang – Datuk Rais Yasin

* N12 Pantai Kundor – Datuk Tumimah Kadi@Hashim

* N14 Kelebang – Datuk Lim Ban Hong

* N15 Pengkalan Batu – Siti Aisyah Mahmood

* N18 Ayer Molek – Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali

* N21 Duyong – Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem

* N23 Telok Mas – Datuk Abdul Razak Abdul Rahman

* N25 Rim – Datuk Khaidhirah Abu Zahar

* N26 Serkam – Datuk Azman Abdullah

* N27 Merlimau – Datuk Dr. Muhamad Akmal bin Saleh

* N28 Sungai Rambai – Jezlee Pit