Tolak calon luar di Sungai Siput

KOTA LAMA KANAN - Rakyat Sungai Siput perlu menolak calon pembangkang di kawasan itu kerana mereka menampilkan calon luar, bukan anak tempatan seperti ditampilkan BN.

Calon BN Dun Lintang, Datuk Zolkafly Harun berkata, calon tersebut tidak mempunyai semangat untuk membangunkan kawasan jika mereka menang kerana mereka bukanlah anak tempatan yang benar-benar faham situasi di Sungai Siput.

Menurutnya, beliau bukanlah mahu menghalang mereka bertanding di kawasan tersebut namun beliau berharap rakyat dapat membuat penilaian sepenuhnya terhadap sikap sesetengah calon yang gemar bertanding di kawasan luar.

“Ini tidak memberikan kesan positif kepada pembangunan di sini, kalau mereka kalah sudah tentu mereka lari. Kalau menang pun mereka tidak boleh buat apa kerana mereka bukan kerajaan.

“Jadi kita harap pengundi bijak menilai calon terutamanya calon-calon daripada luar. Yang mereka tahu, mereka nak bertanding, ada yang asal Kelantan tapi bertanding di Perak, asal Johor bertanding di Kedah.

“Untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat, calon-calon tempatan perlu diberi peluang kerana merekalah yang akan bekerja bersama dengan rakyat,” katanya ketika ditemui semasa melawat PDM di Kampung Batang Kulim, di sini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat Sungai Siput memberi peluang kepada BN dalam PRU14 kerana kawasan itu hilang peruntukan sebanyak RM 60 juta sejak pembangkang menerajuinya.

“Sungai Siput sudah ketinggalan 10 tahun, lama dah kita susah dan kita hilang RM60 juta. Sepatutnya dengan duit sebanyak itu kita boleh membantu rakyat dengan memajukan kawasan dan menyampaikan bantuan.

“Jadi kita memerlukan ahli parlimen untuk wang ini disalurkan ke Sungai Siput. Dengan adanya kemenangan calon BN di Parlimen, menang pula di Jalong dan Lintang, ia akan beri impak besar kepada rakyat di sini.

“Sekurang-kurangnya akan ada Exco Negeri dari Sungai Siput malah wakil menteri juga mungkin ada. Jadi, pembangunan dan kebajikan rakyat pasti lebih terjamin,” ujarnya.

Zolkafly HarunSungai Siput Bn Lintang
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :