'Saya tak pernah keluar Bersatu, hanya dipinjamkan' - Calon Bersatu Rahang

SEREMBAN – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang, Tang Jay Son menjelaskan beliau menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tiga tahun lalu kerana 'dipinjamkan' bagi mewakili parti berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-15.

Namun katanya, beliau tidak pernah keluar daripada Bersatu sejak menjadi ahli pada 2021.

Menurutnya, penyertaannya dalam Gerakan dibuat atas persetujuan bersama antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) ketika itu disebabkan Gerakan tidak mempunyai calon untuk bertanding di DUN Chuah.

"Saya ingin jelaskan bahawa saya menyertai Gerakan pada tahun 2023 atas faktor diminta oleh parti bagi mewakili mereka di DUN Chuah.

"Ketika itu, Gerakan diperuntukkan enam kerusi, tapi mereka tiada calon dan atas persetujuan parti, saya dipinjamkan untuk bertanding atas tiket Gerakan di Chuah dengan syarat perlu menyertai parti itu terlebih dahulu,"katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Isnin.

Sebelum ini Gerakan dilaporkan telah memecat keahlian Jay Son berkuat kuasa serta-merta selepas bertanding atas tiket Bersatu pada PRN Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung GERAKAN, Wong Chia Zhen, dalam kenyataan berkata, tindakan Jay Son adalah pelanggaran disiplin parti yang serius kerana bertentangan dengan prinsip kesetiaan kepada parti.

Mengulas lanjut, Jay Son berkata, atas tanggungjawab kepada PN, beliau yang ketika itu merupakan Ketua Bersekutu Bersatu Jelebu menyertai Gerakan bagi membolehkannya bertanding menggunakan tiket parti berkenaan.

Ujarnya, selepas pilihan raya berakhir, beliau tidak lagi aktif dalam Gerakan, malah keahliannya dalam Bersatu tidak pernah dibatalkan.

Justeru katanya, Gerakan tidak sepatutnya menjadikan isu apabila tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa keahliannya dipecat kerana menjadi calon Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan.

"Saya tiada bantahan mengenai pemecatan keahlian saya dalam Gerakan, itu betullah. Cuma saya rasa cara pemecatan itu diumumkan pada pada hari penamaan calon, ia agak kurang matang.

"Saya pun hanya mengetahui mengenainya apabila terbaca laporan media, malah sehingga kini saya tidak menerima apa-apa notis pun,"katanya.

Mengulas dakwaan bahawa pengumuman pemecatan itu bertujuan menjejaskan imejnya menjelang pilihan raya beliau tidak mahu membuat andaian sedemikian.

"Bagi saya, perkara seperti ini lumrah dalam politik. Ada naik dan turun. Saya tidak marah dengan kenyataan itu, cuma cerita sebenar di sebaliknya tidak dijelaskan sepenuhnya.

"Sebab itu saya rasa perlu tampil memberi penjelasan supaya orang ramai memahami keseluruhan situasi," katanya.

Pada PRN 2023, beliau yang bertanding di DUN Chuah memperoleh 1,874 undi, tewas dengan Yew Boon Lye(PH) yang mendapat 8,172 undi dengan majoriti 6,298.