STRATEGI Perikatan Nasional (PN) meletakkan beberapa bekas pemimpin dan penyandang kerusi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding atas tiket Parti Wawasan Negara (Wawasan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat memberi petunjuk bahawa parti itu semakin mengambil alih peranan yang sebelum ini dimainkan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
Walaupun perubahan itu belum berlaku secara rasmi dari segi struktur parti, perkembangan tersebut menunjukkan Wawasan semakin diberi kepercayaan sebagai wadah politik baharu, sekali gus memastikan kekuatan PN terus kekal relevan dalam percaturan politik negeri itu.
Antara yang mencuri perhatian ialah pencalonan Danni Rais, anak kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang sekali lagi bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, namun kali ini menggunakan lambang Wawasan selepas sebelum ini mewakili Bersatu.
Turut menerima tiket Wawasan ialah penyandang DUN Gemas, Ridzuan Ahmad yang sebelum ini menang atas tiket Bersatu.
Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Universiti Victoria, New Zealand, Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, perkembangan itu bukan sekadar pertukaran logo parti, sebaliknya memberi gambaran PN sedang menyusun semula kekuatan dalaman.
**media[3585813]**
Menurutnya, langkah itu menjadikan Wawasan sebagai platform baharu untuk mempertahankan kerusi dan meneruskan pengaruh PN di Negeri Sembilan.
“Langkah ini sebahagian daripada strategi jangka panjang PN bagi memastikan kesinambungan pengaruh politiknya meskipun tanpa Bersatu.
“Wawasan kini semakin menonjol sebagai parti yang mengisi ruang yang sebelum ini didominasi Bersatu, khususnya melalui pencalonan individu yang sudah mempunyai asas sokongan serta rekod perkhidmatan.
“Secara keseluruhannya, saya lihat PN menampilkan calon pelbagai bidang termasuk teknokrat, pemimpin akar umbi serta bekas pemimpin UMNO dan Bersatu bagi mengekalkan momentum politik mereka.
“Apabila calon yang sebelum ini berada dalam Bersatu kini diberi peluang bertanding atas tiket Wawasan, ia menunjukkan PN bukan sekadar mencari calon baharu, sebaliknya mengekalkan aset politik yang mempunyai potensi untuk menang,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berpandangan, calon-calon yang ditampilkan PN memperlihatkan strategi tersusun, namun tahap kebolehmenangan mereka berbeza mengikut kawasan.
Beliau berkata, calon PN boleh dibahagikan kepada tiga kelompok utama.
“Kumpulan pertama ialah penyandang yang mempunyai kelebihan dari segi jaringan tempatan dan rekod perkhidmatan seperti di Serting, Paroi, Bagan Pinang dan Gemas.
**media[3585813]**
“Kedua ialah calon yang berpotensi merampas kerusi marginal seperti di Klawang, Ampangan dan Sikamat.
“Ketiga ialah calon yang diletakkan di kawasan bandar dan majoriti bukan Melayu seperti Lobak, Bukit Kepayang, Mambau dan Lukut yang lebih berperanan memperluaskan imej PN sebagai gabungan berbilang kaum,” jelasnya.
Justeru, beliau berpandangan PN tidak semestinya meletakkan sasaran untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi kerana terdapat kawasan yang benar-benar menjadi sasaran kemenangan, manakala sebahagian lagi bertujuan memberi saingan sengit kepada Pakatan Harapan (PH).
Saingan
Ditanya tentang pencalonan Danni di DUN Klawang, Anis Anwar berkata, beliau mempunyai asas yang munasabah untuk kembali memberi saingan.
“Dalam PRN 2023, beliau hanya tewas dengan majoriti 577 undi. Ini menunjukkan beliau sudah mempunyai tahap pengenalan serta sokongan asas yang agak kukuh di kawasan tersebut.
“Nama bapanya, Tan Sri Dr Rais Yatim juga memberikan kelebihan dari segi warisan politik dan jaringan tempatan, khususnya di Jelebu.
“Namun, cabaran Danni adalah membuktikan bahawa sokongan yang diterimanya sebelum ini mampu dikekalkan walaupun bertanding di bawah parti komponen yang berbeza dan bukan semata-mata bergantung kepada faktor Bersatu,” katanya.
Peluang Ridzuan di Gemas pula, beliau berpandangan penyandang itu berada pada kedudukan yang lebih kukuh.
“Beliau menang pada PRN 2023 dengan majoriti 3,120 undi dan mempunyai kelebihan dari segi rekod perkhidmatan serta jaringan tempatan.
“Pencalonannya melalui Wawasan akan menguji sama ada pengundi Gemas memilih beliau kerana faktor peribadi, logo Bersatu sebelum ini atau kekuatan jenama PN.
“Ridzuan berpotensi menggabungkan undi penyandang, sokongan PN dan sebahagian undi BN. Namun, sekiranya Bersatu turut bertanding, undi daripada blok yang hampir sama boleh berpecah dan membuka ruang kepada lawan,” jelasnya.
Mengulas mengenai calon yang berpotensi mencipta kejutan, Anis Anwar berkata, kedudukan paling kukuh masih dimiliki penyandang di Serting, Paroi, Bagan Pinang dan Gemas kerana mempunyai kelebihan dari segi rekod perkhidmatan, pengenalan calon serta jaringan tempatan.
Menurutnya, ketiadaan pertembungan secara langsung antara BN dan PN juga berpotensi memberi manfaat kepada mereka melalui undi taktikal penyokong BN.
“Calon yang paling berpotensi mencipta kejutan ialah Mohamad Rafie Ab Malek di Ampangan. Dalam PRN 2023, PH hanya menang dengan majoriti 329 undi, manakala Mohamad Rafie yang bertanding sebagai calon Bebas memperoleh lebih 3,000 undi.
“Kini beliau bertanding sebagai calon Pas dan mendapat sokongan jentera PN. Dengan latar belakang sebagai bekas Exco dan penyandang, beliau mempunyai undi peribadi yang mampu menjadikan Ampangan antara kerusi paling kompetitif.
“Kejayaannya bergantung kepada kemampuan mengekalkan undi peribadi sambil memperoleh pemindahan undi daripada penyokong PN dan BN,” katanya.
Selain itu, beliau melihat Datuk Razali Abu Samah di Sikamat turut berpotensi memberi saingan selepas kerusi itu menjadi lebih terbuka susulan keputusan Datuk Seri Aminuddin Harun berpindah bertanding di DUN Linggi.
Bagaimanapun, laluan PN di Lobak, Bukit Kepayang, Mambau dan Lukut dijangka lebih sukar memandangkan PH memiliki kelebihan majoriti yang besar di kerusi-kerusi tersebut.