KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bukan sekadar menentukan siapa yang akan mentadbir negeri itu untuk lima tahun akan datang, sebaliknya menjadi ukuran awal terhadap kekuatan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hampir empat tahun menerajui kerajaan.
Sebagai negeri yang menjadi kubu tradisi BN, Johor turut menjadi medan penting untuk menguji sejauh mana pengaruh Anwar masih mampu diterjemahkan kepada sokongan pengundi terhadap PH.
Justeru, tindakan PH yang menonjolkan Anwar sendiri sebagai ‘panglima’ dilihat sebagai isyarat jelas bahawa keputusan di Johor mempunyai nilai politik yang jauh lebih besar daripada sebuah PRN kerana ia mampu membentuk persepsi terhadap kepimpinan beliau di peringkat nasional.
Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Universiti Victoria, New Zealand, Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, walaupun PRN Johor hanyalah pilihan raya di peringkat negeri, kekalahan bukanlah satu pilihan buat Anwar dan PH kerana implikasi politiknya boleh melangkaui sempadan Johor.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'
DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM
Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan
'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'
Beliau berkata, sekiranya PH gagal mencatat keputusan yang baik, ia akan memberi gambaran bahawa rakyat menolak kepimpinan Anwar di peringkat Persekutuan.
"Perdana Menteri akan dilihat tidak mampu menggerakkan sokongan pengundi di sebuah negeri yang stabil dan maju seperti Johor.
"Naratif yang akan dibawa lawan ialah Anwar sudah hilang sentuhan politik dan PH tidak lagi dominan di peringkat akar umbi. Terlalu tinggi risiko untuk Anwar dan PH jika kalah," katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?
PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin
PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan - Aminuddin
Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu
Ditanya mengenai perbandingan dengan PRN Sabah sebelum ini yang menyaksikan Anwar turut turun berkempen beberapa kali tetapi PH hanya memenangi satu kerusi, Kartini berpandangan kedua-dua pilihan raya itu tidak boleh disamakan.
"PRN Sabah tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia terutama sekali PRN Johor. 'Sabah for Sabahan' dan semangat MA63 memberikan cabaran yang berbeza.
"Namun pengalaman di PRN Sabah memberi pengajaran buat Anwar dan PH agar pisang tidak berbuah dua kali di PRN Johor," ujarnya.
Dalam pada itu, Kartini berkata, kehadiran Perdana Menteri di lapangan sememangnya mampu memberi suntikan moral kepada penyokong PH, namun ia bukan faktor tunggal yang menentukan kemenangan.
Ditanya mengenai peluang PH di Johor, Kartini berkata, ramai penganalisis masih melihat BN berada pada kedudukan lebih dominan.
Bagaimanapun, sekiranya kerjasama antara PH dan UMNO terus dikekalkan dengan baik, kedua-dua pihak berpotensi berkongsi ‘keberuntungan’ daripada kerjasama tersebut.