KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mewakili Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pengagihan kerusi membabitkan kesemua parti komponen dalam gabungan berkenaan.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan jumlah keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi gabungan itu.
"Paling banyak (kerusi) Bersatu. Senarai dibawa itu berdasarkan keyakinan masing-masing. Jadi Kita tengok, timbang pemberatnya.
"Pemberatnya meliputi jentera, pengundi, pengalaman (bakal calon), penyandang (kerusi) dan pernah bertanding (pilihan raya)," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat agihan kerusi PN di Ibu Pejabat Pas di sini pada Rabu.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa pada Selasa dilapor berkata, PN masih belum memuktamadkan agihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor susulan terdapat beberapa pertindihan tuntutan kerusi antara parti komponennya.
Ujarnya, rundingan yang berlangsung pada hari berkenaan berjaya menyelesaikan sebahagian besar agihan kerusi, namun beberapa kerusi yang menjadi pertindihan masih memerlukan perbincangan lanjut.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Naib Presiden Pas turut memaklumkan semua calon dari parti komponen akan bertanding menggunakan logo PN.
Beliau menambah, mesyuarat itu juga berjaya menyelesaikan 34 kerusi bertindih antara komponen PN dan selebihnya terbuka kepada parti masing-masing.
“Saya punya tugas merunding kerusi bertindih. Yang tak bertindih ‘free for all’. Yang bertindih semua selesai,” katanya.
Ujarnya lagi, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bertanding satu kerusi di Bukit Gambir, manakala Parti Wawasan Negara (Wawasan) tidak menghantar permohonan untuk bertanding di Johor.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya Pas memaklumkan parti itu akan mengumumkan calonnya pada Khamis di Muar.