KEPUTUSAN Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu bukan sekadar episod perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya sebahagian daripada percaturan politik lebih besar.
Ia dikaitkan dengan usaha membentuk jajaran baharu bersama kem Datuk Seri Hamzah Zainudin serta kemungkinan menghidupkan semula kerjasama dengan UMNO.
Langkah itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan hubungan baik antara Pas dan Hamzah sudah terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan, Pas tidak begitu selesa dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa banyak dipengaruhi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas putus hubungan politik dengan Bersatu serta-merta
Pas perjelas punca putus hubungan dengan Bersatu
'Tenang, sabar dulu' - Razali
Tun Faisal namakan siapa dikatakan kem ulama tidak bersetuju - Ahmad Fadhli
“Dua tokoh ini antara yang menyebabkan Pas tidak lagi boleh berada di bawah bumbung PN bersama Bersatu. Sebab itu Pas mula mencari hujah untuk merasionalkan keputusan memutuskan hubungan,” katanya kepada Sinar Harian.
**media[3546029]**
Beliau berkata, Pas sebenarnya berhajat menjadikan PN sebagai platform baharu bersama kumpulan Hamzah.
“Pada hemat saya, mereka mahu Pas menjadi teras PN dan Bersatu ditendang keluar. Kemudian, kumpulan Hamzah dimasukkan semula ke dalam PN.
“Cadangan menerima Hamzah sebagai komponen PN pernah dibangkitkan dalam mesyuarat gabungan itu tetapi ditolak oleh Bersatu. Penolakan tersebut dipercayai menjadi antara faktor yang memburukkan lagi hubungan kedua-dua pihak,” katanya.
Hisommudin berpandangan, pertikaian seterusnya bakal tertumpu kepada soal pemilikan PN.
“Saya jangka berlaku perebutan siapa pemilik PN. Kalau sudah berpisah, tidak boleh duduk dalam rumah yang sama.
“Pas berpotensi menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi PN untuk mendapatkan sokongan Gerakan dan MIPP bagi membuat keputusan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan itu,” katanya.
Beliau turut berpendapat kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada Bersatu berkemungkinan diserahkan kepada kumpulan Hamzah untuk bertanding atas tiket PN pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, katanya, persoalan besar yang masih belum terjawab ialah status rasmi Hamzah memandangkan kumpulan tersebut tidak mempunyai parti politik yang sah untuk dijadikan komponen PN.
Selain mengukuhkan hubungan dengan kem Hamzah, Hisommudin melihat Pas turut meneroka kemungkinan membuka semula ruang kerjasama dengan UMNO menerusi gagasan penyatuan Melayu dan Islam.
Namun, beliau berpendapat, cadangan itu masih belum mendapat sambutan daripada pimpinan tertinggi UMNO.
Sementara itu, Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Universiti Victoria, New Zealand, Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, Pas kini mempunyai ruang lebih luas untuk meneroka kerjasama yang memberi kelebihan politik kepada parti itu.
“Jika memilih kumpulan Hamzah, beliau tidak membawa beban sejarah seperti UMNO dan Pas mempunyai peluang menjadi parti teras yang memimpin naratif Melayu-Islam.
“Saat ini, ‘reset’ mungkin lebih pragmatik buat Pas untuk tidak terikat dengan saingan kuasa, bebas menentukan kawasan dan calon, selain berpotensi menjadi kuasa penentu selepas PRU16,” ujarnya.
Menurut Kartini, sebagai parti yang mempunyai pengaruh kuat di Kelantan, Terengganu dan Kedah, Pas memiliki asas sokongan yang stabil untuk berunding dengan mana-mana pihak daripada kedudukan yang lebih kukuh.
“Berbanding rakan-rakan politiknya, Pas mempunyai kelebihan dari segi jentera, akar umbi dan identiti parti yang jelas.
“Sebab itu Pas mungkin merasakan mereka tidak lagi perlu terikat dengan mana-mana parti tertentu, sebaliknya boleh memilih bentuk kerjasama yang paling menguntungkan menjelang PRU16,” katanya.
Beliau berkata, langkah tersebut juga membolehkan Pas menilai semula kekuatan sebenar parti itu dalam kalangan pengundi Melayu tanpa bergantung kepada jenama PN atau kekuatan Bersatu.