Pemilihan PKR: Lumut 4 penjuru, Ahli Parlimen, ADUN dicabar

IPOH – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat Cabang di Perak menyaksikan beberapa saingan menarik melibatkan figura politik ternama termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Cabang Lumut menjadi tumpuan dengan saingan empat penjuru bagi jawatan Ketua Cabang. Penyandang jawatan, Abdul Razak Nazri bakal mempertahankan kedudukannya daripada cabaran tiga calon lain termasuk bekas Ahli Parlimen Lumut, Laksamana (B) Mohamad Imran Abd Hamid.

Saingan turut memanas di Cabang Sungai Siput apabila Ahli Parlimennya, S Kesavan dicabar Timbalan Ketua Penerangan PKR Perak, Novinthen Krishnan bagi jawatan Ketua Cabang.

Di Tambun, ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berdepan cabaran daripada Shamsul Kamar Ani yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang.

Buat pertama kalinya, ADUN Hutan Melintang, S Wasanthee mencabar penyandang R Manukaran untuk jawatan Ketua Cabang Bagan Datuk.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi DUN Sungai Manik, Mohamad Maharani Md Tasi pula perlu berdepan dua pencabar bagi mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Pasir Salak.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri mengekalkan jawatan Ketua Cabang Kuala Kangsar selepas lawannya dilaporkan menarik diri.

Selain Mohamad Hairul Amir, empat lagi ketua cabang turut menang tanpa bertanding iaitu Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing bagi Cabang Gopeng; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang bagi Cabang Tanjung Malim; Baldip Singh (Cabang Kampar) dan S Thamilselvan (Cabang Batu Gajah).

Proses pemilihan secara fizikal bagi negeri Perak akan berlangsung di tujuh lokasi berasingan membabitkan seramai 433 orang melibatkan 23 cabang di Perak yang mempunyai pertandingan.