[ANALISIS] Undi 18: "Kami belum sedia, bimbang buat keputusan salah" - Ketua Pengawas Sekolah

PERSEDIAAN sudah boleh dibuat setelah usul menurunkan had umur undi daripada 21 tahun kepada 18 tahun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat melalui Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Namun, adakah mereka sudah bersedia? Adakah golongan itu betul-betul cakna dengan apa yang berlaku dalam negara sekarang.

Usia remaja 18 tahun zaman sekarang terlalu sensitif dengan situasi semasa di media sosial.

Mereka mudah terikut dengan segelintir yang bergelar instafamous. 

Jika Undi 18 dilaksanakan, mungkin akan wujud strategi kempen baharu menggunakan golongan ini yang mempunyai pengikut ramai di media sosial.

Memilih pemimpin untuk mewakili suara rakyat di Dewan Rakyat bukan semudah memilih telefon bimbit di kedai. 

Banyak pertimbangan yang perlu dibuat dan diambil tahu sebelum memangkah nama calon di atas kertas undi.

Tidak hairanlah, walaupun undang-undang telah diluluskan tetapi masih ramai pemimpin yang bercakap dalam nada berbeza.

Tambahan pula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18. 

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, bagaimanapun menyokong tindakan SPR dengan alasan usia 18 tahun belum matang untuk menentukan masa hadapan negara.

Beliau juga menegaskan bahawa Pas mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang.

“Kalau rakyat itu mentah pilih kerajaan mentah juga,” katanya bagi menegaskan kenyataan yang tersebut.

Namun sejauhmanakah yang dikatakan sebagai 'matang'?

Umum kita ketahui bahawa umur 18 tahun bukan lagi dianggap sebagai mentah bahkan ada yang jauh lebih matang berbanding usia.

Umur juga bukan penentu kepada kematangan seseorang. 

Ikuti pandangan beberapa ketua pengawas sekolah mengenai pelaksanaan Undi 18.

Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh Jaya, Pahang, Muhammad Fauzlan Haikal Mohamad Fauzi, 18,  berkata, kerajaan tidak seharusnya meneruskan pelaksanaan Undi 18 kerana pemikiran belum matang selain tidak ramai yang ambil tahu mengenai apa yang berlaku dalam negara. 

"Saya tak faham bagaimana negara ini diurus, tak pernah ambil tahu mengenai politik negara, bagaimana kami nak buat pemilihan yang besar itu," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengawas SMK Langgar, Kedah, Muhamad Haikal Rozali, 19 berpendapat kerajaan tidak perlu melaksanakan Undi 18 kerana pada usia itu mereka sangat mudah terpengaruh dengan kata-kata yang tidak menjamin apa-apa untuk masa hadapan mereka.

"Bimbang jika ada yang terpengaruh dengan golongan tertentu yanga akhirnya kami membuat keputusan yang salah ketika pilihan raya," katanya.

Pendapat Muhamad Haikal turut disokong bekas Ketua Pengawas, SMK Tengku Ampuan Intan, Terengganu, Muhammad Zulkifli Sulaiman, 18, yang mengatakan bahawa Undi 18 ada kebaikan dan keburukannya. 

Katanya, pemerkasaan atau satu pendekatan pendidikan kepada bakal pengundi perlu dilaksanakan kerana pada usia 18 tahun, individu ini merupakan orang yang baharu berkaitan pengundian. 

Muhamad Haikal berkata, satu pendidikan pengundian secara holistik itu mampu membuka minda mereka mengenai bagaimana untuk memilih calon yang bakal mewakili suara masyarakat di kawasan mereka.

Sementara itu, bekas Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yillson Yanggun, 25, pula menyokong Undi 18 kerana golongan muda seawal usia 18 tahun perlu cakna dalam politik. 

"Kerajaan perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk berfikir secara matang dalam memilih pemimpin, menilai demokrasi dan turut terlibat dalam politik secara langsung dalam kepimpinan negara. 

"Sudah tiba masanya kita memberi kepercayaan, harapan dan keadilan kepada anak muda dalam mencorak masa depan negara," katanya. 

Mohd Azrhul Niezam Abd Muzidil daripada Perwakilan Kesatuan Mahasiswa, Universiti Malaya (UM) berkata, tindakan menurunkan umur mengundi hanya membawa lebih banyak bencana kepada demokrasi. 

"Bukan kerana anak muda belum cukup matang, tapi mereka mudah disuap dengan janji kosong seperti pendidikan percuma dan jaminan langsai hutang pendidikan.

"Undi 18 adalah langkah 'populist' tapi tidak menjamin apa-apa kerana kuasa anak muda terletak pada semangat aktivismenya, bukan nilai undinya," katanya.

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Izzat Aidil Abdul Rahman, pula menyokong bantahan Undi 18 kerana bilangan pengundi akan bertambah. 

"Remaja yang berumur 18 akan mudah terikut-ikut dengan pilihan rakan sebaya dan tidak mempunyai pendirian yang tetap. Hal ini sebab pemilihan undian bagi memilih kerajaan yang akan memerintah merupakan satu tanggungjawab yang besar. 

"Oleh itu, jika Undi 18 dilaksanakan, mungkin akan berlaku perubahan besar dalam politik negara kita." katanya.

Undi 18