UMNO mahu calon BN di kerusi Parlimen Sungai Besar

SEKINCHAN - UMNO Bahagian Sungai Besar tetap berpegang teguh dengan pendirian meletakkan calon Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, keputusan itu diambil secara sebulat suara UMNO bahagian itu meskipun kerusi itu dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu.

Malah, katanya, beliau sudah menghantar nama calon mewakili BN dan bersedia menentang calon daripada Bersatu di Parlimen berkenaan.

"Saya sendiri akan mewakili BN bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar bagi memastikan parti ini tidak terkubur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Liputan Sesi Ulasan Restoran Ikan Bakar Sekin Fisherman Village Hotel and Resort, di sini pada Ahad.

Jamal berkata, UMNO Bahagian Sungai Besar juga mengambil pendirian meneruskan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada kerjasama dibuat antara UMNO bahagian itu dengan Bersatu.

"Kami mempunyai lebih 13,000 ahli UMNO di Parlimen Sungai Besar dan besar harapan ahli kami untuk meletakkan UMNO kembali menerajui Parlimen ini," katanya.

Pada PRU14 lalu, calon Bersatu, Muslimin Yahaya memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar selepas mengalahkan calon BN, Budiman Mohd Zohdi dan calon Pas, Salleh Husin dengan majoriti 714 undi.
 

UMNO PRU15
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :