'Bukan masa sesuai bercakap mengenai PRK Bugaya'

KOTA KINABALU - Sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu harus diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukannya berikutan penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia semalam.

"Saya fikir bukan masa yang sesuai bagi kita untuk bercakap mengenai PRK Bugaya. Saya ingat semua orang masih bersedih di atas kehilangannya.

"Saya mengenali Allahyarhamah dan suaminya juga adalah kawan baik saya ketika bersekolah dulu. Bagi pihak kerajaan negeri serta seluruh jawatankuasa pengurusan Covid-19 Sabah, kita merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga beliau.

"Jawapan saya pendek saja, biarlah SPR tentukan tetapi secara peribadi saya merasakan ia bukan masa sesuai untuk bercakap mengenai PRK," katanya pada sidang media di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah kerajaan Sabah akan mencadangkan langkah yang sama untuk menangguhkan PRK Bugaya seperti yang berlaku pada PRK Batu Sapi selepas darurat diisytiharkan.

Sementara itu, mengulas mengenai pengisytiharan darurat di Batu Sapi, Masidi berkata, ia lebih kepada bagi menangguhkan PRK di kawasan berkenaan.

"PRK tidak boleh dielakkan kerana ia sebahagian daripada peruntukan Perlembagaan dan ia harus diadakan dalam masa tertentu.

"Bagaimanapun, dengan pengisytiharan (darurat) ini, ia boleh menangguh PRK Batu Sapi ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian dan keputusan ini adalah tepat.

"Saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan dengan penangguhan PRK ini, ia mengelak kita daripada terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19," katanya.

Masidi malah berkata, ketika ini bukan masa sesuai untuk berpolitik dan berharap semua masyarakat tidak kira fahaman politik akan bersama-sama berjuang untuk memerangi Covid-19.

Masidi Manjun @ MasdiPRK Batu Sapi PRK Bugaya
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :