PM arah kaji perundangan tangguh PRK Batu Sapi

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah mengarahkan supaya beberapa aspek perundangan dikaji bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah ditangguhkan terlebih dahulu sehingga pandemik koronavirus (Covid-19) berakhir.

Menurutnya, beliau telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara berbuat demikian ketika Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana antara lain prosedur operasi standard (SOP) PRK Batu Sapi dibentang hari ini.

“PRK ini dilihat agak sukar untuk dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 masih memuncak di negeri Sabah pada masa ini,” katanya di dalam catatannya di Facebook.

Muhyiddin berkata, sidang MKN turut diberikan penerangan mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 dalam negara di mana beliau menyifatkan ia masih lagi pada tahap membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan supaya MKN segera menilai semula sama ada aktiviti sosial masih boleh dibenarkan pada ketika ini, selain keperluan untuk memperketatkan lagi SOP pergerakan rentas daerah dan negeri.

“Saya dimaklumkan, Insya-ALLAH MKN akan membentangkan dapatan hasil perbincangan daripada Jawatankuasa Teknikal Covid-19 berhubung penilaian semula SOP pada sidang MKN esok (5 November),” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau turut bersetuju dengan saranan kerajaan negeri Sarawak supaya fasiliti yang menjalankan ujian saringan pengesanan Covid-19 di negeri itu dinaik taraf.

“Saya setuju dengan saranan ini kerana fasiliti sedia ada dijangka tidak mampu menampung sampel yang banyak dan kita mesti bersiap sedia dari segi tenaga kerja dan fasiliti untuk menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

“Alhamdulillah, kerajaan Sarawak telahpun mengadakan perbincangan lebih awal di pihak mereka dan akan membentangkan Pelan Persiapan Covid-19 bagi Negeri Sarawak pada Sidang Khas MKN esok,” katanya.

Perdana menteri turut memberi komitmen bahawa semua cadangan bagi menambah baik gerak kerja dan persiapan mengurus serta mengawal jangkitan Covid-19 dalam negara akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan.

“Semua ini pada akhirnya adalah untuk melindungi rakyat Malaysia daripada jangkitan Covid-19 dan memastikan keupayaan mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya. - Bernama
 

PRK Batu Sapi Muhyiddin Yassin
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :