Pas Sabah tidak cadang letak calon di PRK Batu Sapi

KOTA KINABALU - Pas Sabah tidak bercadang meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi berikutan keadaan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat di Sabah.

Bagaimanapun, terpulang kepada pucuk pimpinan Pas pusat sama ada mengambil keputusan yang sama untuk bertanding atau sebaliknya.

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, dalam keadaan semasa lebih baik tidak meletakkan calon bagi mengelakkan menjadi salah satu entiti yang menggalakkan penularan Covid-19.

"Bagaimanapun tiada perbincangan rasmi setakat ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk di gereja Kampung Keliangau, Manggatal, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung bantuan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik berkata, kira-kira 200 pek bantuan disalurkan kepada penduduk di kampung itu.

"Selain masyarakat Muslim, kita juga menyampaikan bantuan kepada penduduk Kristian di kampung ini kerana ia sebahagian program kebajikan Pas Sepanggar sejak dulu," katanya.

Aliakbar berkata, program kebajikan bersama Biro Kebajikan Pas Sepanggar itu juga bertujuan menangkis salah faham pihak lain bahawa Pas meminggirkan masyarakat bukan Islam.

"Saya rasa itu satu persepsi negatif, kita tiada nilai seumpama itu. Cuma kadang-kadang agenda yang cuba membuat provokasi atau bersifat prejudis dan kenyataan sangat negatif pada keharmonian kita di Sabah," katanya.

PRK Batu Sapi