Undi India samar, Melayu dan Cina sudah ada pilihan

KUALA KUBU BAHARU - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) Sabtu ini menyaksikan persaingan empat penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH memilih Pang Sock Tao, 31, yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ngar Kor Ming sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, 54, menjadi ayam tambatan PN.

Kehadiran calon Bebas, Nyau Ke Xie atau dikenali Eris seperti sudah dijangka dan ia dikaitkan dengan tindakan protes parti Gerakan terhadap PN.

Ini memandangkan Gerakan bertanding di kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos tahun lalu.

Kehadiran calon PRM, Hafizah Zainuddin juga dikatakan protes kepada PH kerana tidak meletakkan calon Melayu. PRM dikatakan parti mesra PH walaupun tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.

Di sebalik pembabitan empat calon pada PRK kali ini, tumpuan sebenar pertandingan diyakini hanya terarah antara persaingan Sock Tao dan Khairul Azhari untuk menambat hati 40,226 pengundi di DUN KKB.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 39,362 orang adalah pengundi biasa, manakala 625 pengundi adalah anggota polis dan pasangan, tentera pula seramai 238 orang bersama pasangan serta seorang pengundi luar negara.

Kira-kira 46 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, sementara Cina sekitar 30 peratus. DUN KKB memiliki lebih kurang 7,200 pengundi India atau mewakili 18 peratus daripada keseluruhan pengundi. Pengundi Orang Asli pula mewakili tiga peratus, manakala selebihnya adalah etnik-etnik lain.

**media[2644676]**

Sepanjang lebih seminggu Sinar Premium berkampung di KKB, suasana kempen pilihan raya dalam kalangan penduduk dilihat agak lesu dengan parti-parti politik bertanding lebih memilih pendekatan berkempen secara kecil-kecilan berbanding ceramah perdana.

Warga KKB juga seolah-olah kurang teruja dengan pendekatan kempen diusahakan calon-calon bertanding, walaupun pelbagai bentuk program kebajikan dan sumbangan dianjurkan mereka.

Di sebalik suhu PRK yang ‘suam-suam kuku’, majoriti pengundi hakikatnya sudah menunjukkan kecenderungan menyokong parti tertentu.

Bagi majoriti 12,182 pengundi Cina, rata-rata mereka lebih berkecenderungan untuk mengekalkan sokongan terhadap calon PH sekalipun sebahagiannya kecewa dengan sikap pemimpin DAP dalam mendepani beberapa isu penting dalam Kerajaan Perpaduan.

Warga emas, Sun Peng Hock, 75, berkata, meskipun kaum Cina kesal dengan sikap pemimpin DAP yang kurang agresif mempersoalkan tindak-tanduk segelintir pemimpin UMNO membangkitkan isu berbaur perkauman, mereka tiada pilihan lain.

“Kita tidak boleh membiarkan gelombang hijau (Perikatan Nasional-PN) berterusan mengancam masa hadapan pengundi bukan Melayu,” kata Peng Hock yang mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kerling.

Bagi 18,872 pengundi Melayu, terdapat kecenderungan besar segmen itu menyokong calon PN berdasarkan keterujaan mereka berpotensi menerima calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu pertama dalam tempoh 50 tahun.

Peniaga warung di Pasar Awam KKB, Ali Md Alip, 69, mengakui keputusan PN mempertaruhkan calon Melayu sememangnya menaikkan semangat sebilangan besar pengundi segmen itu untuk keluar mengundi.

“Kita sudah lama terima wakil rakyat bukan Melayu. Bukan saya hendak kata perkhidmatan mereka tidak baik, tetapi opsyen pemilihan ADUN Melayu memberi ruang orang Melayu untuk mendapat wakil kaum mereka sendiri,” katanya.

Sentimen sama turut dikongsi penduduk Taman Perumahan Bandar Baru Utama Batang Kali, Rushaizi Rusdi, 52, yang menganggap pemilihan ADUN Melayu pertama di DUN itu amat penting bagi menyelesaikan pelbagai isu tempatan melibatkan kaum berkenaan.

Pandangan berbeza sebaliknya dikemukakan Noorzamira Zulkifli, 38, yang merasakan status etnik kaum seorang wakil rakyat tidak seharusnya dijadikan faktor utama pengundian.

“Sepatutnya faktor kaum tidak wajar menjadi alasan pemilihan wakil rakyat, sebaliknya rekod pencapaian wakil rakyat atau hala tuju parti yang perlu diukur,” katanya yang tinggal di Bandar KKB.

Begitu juga dengan lebih 1,200 pengundi Orang Asli, majoriti mereka dipercayai cenderung memilih calon PH pada PRK kali ini.

“Majoriti masyarakat Orang Asli masih mengharap pelbagai pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kampung-kampung mereka. Buat masa ini, kita masih beri peluang kepada kerajaan sedia ada untuk menunaikan permohonan kami,” luah Ramis Ramsit, 24.

Bagaimanapun, undi kaum India dilihat masih samar dan belum menampakkan corak kecenderungan kepada parti tertentu.

**media[2644677]**

Di kawasan bandar, rata-rata pengundi kaum itu yang ditemui berpendapat status quo pemilihan ADUN daripada Kerajaan Perpaduan perlu dikekalkan demi kesinambungan perancangan pembangunan kaum itu.

Pemandu lori, K Chinnaiya, 67, berkata, pengundi India tidak perlu terpengaruh dengan sentimen-sentimen menolak kerajaan sedia ada yang dimainkan pemimpin India dari luar KKB.

Bagaimanapun, seorang pekerja estet yang enggan dinamakan memberitahu, majoriti masyarakat India kelas bawahan berkemungkinan enggan keluar mengundi atau beralih sokongan kepada PN.

“Melainkan Menteri Besar Selangor memberi jaminan akan menyelesaikan isu-isu tempatan melibatkan kaum India di sini secepat mungkin,” katanya.

BACA ANALISIS PENUH SEMPENA PRK KUALA KUBU BAHARU:

PRK KKB lebih sengit berbanding PRN