ADUN Selat Klang tidak bimbang jadi bahan kempen PN

HULU SELANGOR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari tidak bimbang sekiranya menjadi sasaran kempen pembangkang susulan tindakannya turun membantu Pakatan Harapan (PH) di Kuala Kubu Baharu.

Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor muncul di pentas ceramah PH di Batang Kali di sini pada malam Rabu.

Jelasnya, beliau akan berkempen habis-habisan untuk memastikan pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tidak memberi undi kepada calon Perikatan Nasional (PN).

"Saya tidak kalau kehadiran saya ini (di pentas ceramah PH) dijadikan bahan kempen PN. Silakan...saya tidak kisah.

"Saya sudah membuat semakan, Perlembagaan Bersatu tidak ada peruntukan yang mana jika saya membuat ceramah di mana-mana mereka boleh ambil tindakan.

"Mereka boleh pecat saya sekiranya keluar daripada parti dan mendukung parti lain tapi tidak ada peruntukanyang mengatakan saya tidak boleh ceramah.

"Jadi saya boleh ceramah di mana-mana tempat tidak kiralah bagi Kerajaan Perpaduan dan sebagainya kerana tidak ada peruntukan (dalam Perlembagaan Bersatu) yang nyatakan tidak boleh ceramah," katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesediaan dirinya akan menjadi sasaran kempen PN susulan muncul di pentas ceramah PH.

Abdul Rashid sebelum ini mengisytihar sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, ketika di pentas ceramah, Abdul Rashid berkongsi kisahnya diabaikan oleh parti, meskipun sebelum ini menjadi orang kuat yang membentuk Bersatu di Selangor.

Katanya, segala kerja kerasnya tidak dipandang kerana parti didakwa lebih mementingkan orang luar.

"Atas sebab ini jugalah saya pilih untuk sokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bukan untuk diri saya semata-mata tapi buat pengundi di DUN Selat Klang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!