Dakwa salah guna kuasa, PN fail petisyen jika PH menang PRK KKB

KUALA KUBU BAHARU – Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, tindakan tersebut susulan kerajaan telah melakukan salah guna kuasa dan jentera sebelum dan semasa kempen PRK berlangsung.

“Kami beri amaran, sekiranya ditakdirkan PH menang, kami akan failkan petisyen pilihan raya, itu sudah pasti.

"Kita ada kes seperti di Kuala Terengganu dan Kemaman,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran manifesto calon PN, Khairul Azhari Saut di bandar Kuala Kubu Baharu pada Isnin.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, perkara berkenaan boleh dirujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan Ahmad Amzad bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pada pilihan raya berkenaan.

Mengulas lanjut, Ketua Whip Pembangkang itu menegaskan, pihaknya telah mengumpulkan bukti kukuh dan akan dikemukakan ketika permohonan petisyen dilakukan.

“Bukti pelanggaran ada secara video dan catatan sebahagiannya.

"Jadi saya menyeru kepada pengundi Kuala Kubu Baharu, jika tak nak mengundi sekali lagi, pastikan PN menang.

“Kalau PH menang pasti kami akan failkan petisyen pilihan raya nanti,” ujarnya.

Sebelum ini timbul kontroversi apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menjelang PRK Kuala Kubu Baharu.

Walau bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP itu menegaskan tindakan itu tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berikutan peruntukan diumum sebelum hari penamaan calon dan bukan dalam tempoh kempen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!