Calon Bebas ambil cuti dua minggu untuk kempen

HULU SELANGOR - Calon Bebas, Nyau Ke Xin memaklumkan beliau kini mengambil cuti selama dua minggu sebagai pengurus di salah sebuah syarikat logistik di Shah Alam, Selangor.

Menurut wanita berusia 29 tahun itu, tindakan tersebut diambil untuk membolehkan dirinya menumpukan kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

"Saya telah mohon cuti selama dua minggu (daripada syarikat) untuk berkempen. Saya juga gunakan kenderaan sendiri bergerak.

"Kaedah kempen saya ialah secara individu bertemu terus dengan pengundi di Kuala Kubu Baharu ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Sementara itu, ditanya mengenai sumber kewangan yang diperoleh untuk tujuan kempen, anak kelahiran Sabak Bernam tersebut memaklumkan dirinya menggunakan simpanan sendiri.

"Kebanyakan kos yang dibelanjakan untuk tujuan kempen ini saya gunakan simpanan sendiri.

"Ada juga bantuan daripada ahli keluarga yang menyumbang bagi melancarkan lagi gerak kerja saya," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penerimaan pengundi di kawasan berkenaan sepanjang tempoh kempen, Ke Xin mengakui sambutan diterima amat positif.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), PH, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Pang Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut dan Hafizah Zainuddin bertanding bagi pihak PRM.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu, merangkumi 46 peratus pengundi Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lima peratus pengundi lain, termasuk Orang Asli.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!