Zahid beri bayangan ada kaedah lain bebaskan Najib

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan terdapat kaedah lain yang akan digunakan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada penjara selain melalui proses penghakiman.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perkara berkenaan buat masa ini kerana bimbang disalah tafsir oleh pengamal media yang turut hadir ke Mesyuarat Dwi Tahunan Kelab Sahabat Najib 87 penggal 2024/2026 itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, beliau mengakui sedih mengenangkan keadaan Najib yang terpaksa bersendirian di penjara dan berjauhan dengan keluarga.

“Tokoh yang kita sayangi berada di sebalik tirai besi, inilah perjuangan. Kita wajib memperjuangkan nasib dan membebaskan beliau.

“Jangan pernah putus asa, kita mesti bertindak secara bijak dan lakukannya dengan tertib.

“Saya sangat yakin inilah jalan terbaik kita boleh lakukan melalui kaedah tertentu yang direstui keluarga Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan mesyuarat berkenaan dan menyertai jamuan Aidilfitri di Menara Dato’ Onn pada Ahad.

Kelab Sahabat Najib 87 menyampaikan resolusi kepada Ahmad Zahid dan memohon agar Najib dipindahkan daripada penjara kepada tahanan di rumah bagi mematuhi Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Hadir sama, isteri kepada Najib iaitu Datin Seri Rosmah Mansor bersama anaknya Ashman Najib dan seluruh ahli kelab berkenaan.

Mesyuarat yang diadakan melibatkan kira-kira 300 ahli bertujuan membincangkan resolusi pembebasan ahli Parlimen Pekan itu selain membentangkan laporan aktiviti tahunan.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Sahabat Najib 87, Datuk Seri Rahman Bakar memaklumkan, resolusi tersebut turut memohon agar Najib diberi pembebasan penuh kerana beranggapan perbicaraan beliau tidak diadili dengan baik.

Tambah beliau, perbicaraan dilihat agak berat sebelah, tergesa-gesa dan masih ramai saksi belum dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sebelum menyampaikan resolusi kelab tersebut kepada Ahmad Zahid, Timbalan Presiden, Datuk Kamarudin Abdullah memaklumkan, pihaknya akan turun padang bagi membantu seluruh peringkat parti keramat berkenaan demi mengembalikan kegemilangannya yang kian terhakis sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“UMNO tak boleh kalah walaupun kami bukan roh Malaysia Madani, tetapi UMNO adalah kulit yang melindungi kerajaan daripada panahan haba, serangan unggas dan ulat.

“Kami berharap semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan kukuhkan perpaduan dan hindari percetusan yang boleh meretakkan hubungan sesama sendiri,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!