Faktor demografi masih penting bagi PRK DUN KKB

SHAH ALAM - Faktor demografi tetap memainkan peranan penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) kerana politik Malaysia masih dikuasai populasi pengundi Melayu yang meningkat lebih 45 peratus.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, demografi tetap relevan kerana kuasa politik Malaysia masih bergantung kepada pengundi, isu setempat dan imbalan ‘politik perut’ yang bakal diperoleh oleh rakyat.

**media[2632197]**

“Saya melihat situasi ini boleh mempengaruhi strategi politik yang akan digunakan oleh calon dan parti yang bertanding di dalam pilihan raya.

“Masih banyak masa yang perlu dilalui oleh calon-calon yang bertanding dan mereka harus memenangi persepsi politik dalam kalangan pengundi sasaran. Persaingan persepsi politik merupakan senjata paling berkesan yang boleh mengubah corak sokongan pengundi di Kuala Kubu Baharu kali ini,” katanya kepada Sinar Premium.

Berdasarkan penilaian dan pemerhatian Mohammad Tawfik yang turun sendiri di lapangan, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai persaingan sengit serta sukar untuk menyatakan secara konsisten bahawa hanya ada satu gabungan parti yang kuat di DUN KKB.

“Malah saya menjangka sekiranya PN atau PH menang, majoriti undi mereka hanyalah di bawah 1,000 undi.

“Saya melihat calon PH mendahului namun penilaian ini masih terlalu awal kerana tempoh berkempen untuk fasa minggu pertama ini baru masuk hari yang ketiga,” katanya.

Mohammad Tawfik turut bersetuju dengan tindakan PN untuk memilih calon dari Bersatu berbanding Gerakan sebagai perubahan strategi untuk memperkuat asas sokongan Melayu daripada menarik pengundi Cina.

“Keputusan Bersatu meletakkan calon Melayu merupakan strategi politik yang baik untuk meraih sokongan undi kaum majoriti itu apabila berlakunya peningkatan pengundi Melayu dan penyusutan pengundi Cina.

“Bersatu melalui PN menyedari inilah peluang untuk mereka menumpang isu-isu hangat melibatkan orang Melayu Islam yang sedang menggelegak di negara ini seperti kes boikot kedai serbaneka KK Super Mart, usaha Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengangkat pengiktirafan Kampung Baru Cina dan penggunaan istilah kafir oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek,” jelasnya.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Mei ini manakala penamaan calon pada 27 April serta pengundian awal, 7 Mei.

DUN KKB bagaimanapun mempunyai perubahan peratusan mengikut etnik sejak tiga pilihan raya iaitu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.

Perubahan demografi pengundi Cina yang dicatatkan ketika kemenangan mendiang Kee Hiong pada PRU14 ialah 42.7 peratus dan telah menurun kepada 30 peratus pada PRU15.

Selain itu, pertambahan dalam undi Melayu telah meningkat daripada 32.7 peratus (PRU14) kepada 49.3 peratus pada PRN 2023.

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berpandangan, selagi tidak berlaku perubahan struktur dan rencam masyarakat, maka faktor etnik sangat penting dalam konteks politik.

**media[2632181]**

“Pastinya faktor demografi penting bagi persaingan politik Malaysia yang rencam. Asasnya, demografi ini tidak berubah secara drastik tetapi perubahan paradigma dan mentaliti pengundi dilihat menjadi faktor utama.

“Contohnya, isu pembangunan masyarakat India yang dianggap tidak berkembang baik menjadi salah satu faktor adanya kempen tidak mengundi PH dalam kalangan masyarakat India. Namun, undian tidak semestinya berubah kepada PN,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya isu kelembapan ekonomi, harga barang serta kes berkaitan aspirasi Melayu dan bumiputera menjadi modal utama calon dalam berkempen, ia boleh merubah paradigma pengundi.