PRK KKB: Calon PH, PN bertembung ketika kempen

HULU SELANGOR - Dua calon yang bersaing bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada Ahad bertembung buat kali pertama sejak hari penamaan calon semalam.

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao yang tiba di pasar pagi Batang Kali di sini pada 8 pagi bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang tiba setengah jam kemudian di lokasi sama untuk berkempen.

Kedua-dua calon saling bertegur sapa sebelum meneruskan kempen yang memasuki hari kedua hari ini bersama jentera masing-masing.

Sock Tao yang kemudiannya meneruskan tinjauan mesra di pasar karat Batang Kali, kira-kira 1.8 kilometer dari pasar pagi, ketika ditemui pemberita selepas itu berharap semua pihak dapat menjalankan kempen secara sihat.

"Ini adalah suatu yang baik apabila kita dapat menjalankan kempen secara berhemah. Saya berharap semangat ini diteruskan,” katanya pada kempen yang turut dibantu dua Ahli Jawatankuasa DAP pusat iaitu Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Sementara itu, Young Syefura berkata, pengalaman yang dimiliki ketika pertama kali menjadi wakil rakyat di DUN Ketari serta Parlimen Bentong, kedua-duanya di Pahang, akan digunakan sebaiknya untuk membantu Sock Tao.

"Peranan saya di sini adalah untuk beri semangat dan nasihat kepada Sock Tao bagaimana nak menghadapi pelbagai masyarakat. Kita nak beritahu, orang baharu ini (Sock Tao) sama seperti mendiang Lee Kee Hiong dan dia akan berkhidmat dengan baik, dapat membuat satu perubahan yang lebih baik untuk KKB,” katanya.

Suasana kempen juga dilihat masih belum meriah dengan kibaran bendera parti yang bertanding.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Sock Tao, Khairul Azhari (PN), Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding hingga 11.59 malam, 10 Mei manakala hari pengundian ialah pada 11 Mei dan pengundian awal pada 7 Mei.

DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!