Peluang PH-PN sama rata

BIARPUN selepas selesai proses penamaan calon yang menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) termasuk calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, namun ramai yang melihat persaingan sebenar ialah antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, di atas kertas kedua-dua koalisi berkenaan mempunyai peluang seimbang untuk memenangi PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini, biarpun PH dilihat memiliki sedikit kelebihan kerana disokong jentera Kerajaan Perpaduan dari Putrajaya dan Selangor.

Selain itu, PH juga mempunyai kelebihan kerana mendapat bantuan jentera kempen daripada bekas musuh ketatnya UMNO yang kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pensyarah Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, biarpun ada pihak mempersoalkan tindakan DAP menamakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Perpaduan kerana beliau bukan anak tempatan, namun isu berkenaan tidak sepatutnya menjejaskan sokongan pengundi terutama orang Cina terhadap PH.

**media[2629919]**

Malah, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM itu menjelaskan, majoriti pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina dan India tidak kisah sama ada calon PH berkenaan adalah penduduk tempatan atau calon payung terjun kerana bagi mereka, apa yang lebih penting individu berkenaan mampu melaksanakan tugas dengan baik sekiranya dipilih.

Mohd Azizuddin tidak menolak kemungkinan tindakan PH meletakkan calon import itu akan menyebabkan sebahagian pengundi Melayu memboikot atau memberi undi kepada PN yang menampilkan calon Melayu.

“Namun saya juga melihat tindakan PN meletakkan pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai calon bukan satu kelebihan biarpun beliau adalah anak tempatan kerana Khairul Azhari kurang dikenali ramai dan tidak berpengaruh.

“Pengaruh parti Bersatu juga kurang kuat di Kuala Kubu Baharu, namun mereka bernasib baik kerana berkawan dengan Pas yang mempunyai ramai penyokong di DUN Kuala Kubu Baharu terutama di kawasan mempunyai majoriti pengundi Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, peluang PN untuk menawan kerusi disandang DAP selama tiga penggal berturut-turut itu tipis sekiranya pengundi Melayu terutama penyokong UMNO memilih untuk mengundi calon PH.

Menurut Mohd Azizuddin, biarpun di atas kertas PH kelihatan hampir pasti menang, namun mereka juga bakal berdepan masalah jika golongan muda memboikot calon Perpaduan atau beralih arah menyokong calon PN.

Mohd Azizuddin turut melihat tindakan DAP meletakkan Sock Tao sebagai calon adalah strategi serampang dua mata iaitu bukan hanya untuk mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu, malah menarik anak muda untuk mengundi calon Perpaduan.

Katanya, DAP juga menampilkan Sock Tao sebagai calon kerana mahu menarik undi golongan wanita yang menjadi sebahagian besar pengundi di DUN Kuala Kubu Baharu.

PENGARUH POLITIK IDENTITI

Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim juga berpendapat tindakan PH meletakkan orang luar sebagai calon tidak memberi pengaruh besar terhadap keputusan akhir PRK nanti.

Bagaimanapun, beliau berkata, sama ada isu calon tempatan atau luar serta isu lokal atau nasional, semua elemen itu pasti akan jadi bahan kempen.

**media[2629921]**

“Akhirnya saya jangka politik identiti akan banyak memberi pengaruh dalam corak pengundian nanti. Politik identiti ini akan semakin mekar di Kuala Kubu Baharu apabila berlaku pertembungan antara calon Cina daripada PH dan calon Melayu mewakili PN.

Beliau menjelaskan, biarpun DAP dikritik kerana meletakkan orang luar sebagai calon, rekod perkhidmatan wakil rakyat mereka sebelum ini cemerlang dan amat disenangi oleh pengundi tempatan.

Mohd Yusri turut berpandangan, tindakan PN meletakkan calon Melayu daripada Bersatu adalah lebih baik dan tepat berbanding meletakkan calon Cina daripada Parti Gerakan.

“Ia membuka peluang lebih baik kerana memberi kelebihan kepada mereka untuk menggerakkan kempen bagi mendapat semaksimum mungkin undi daripada etnik Melayu.

“Dalam situasi politik identiti semakin melebar, PN berpeluang menambah sokongan pengundi Melayu berbanding yang diperoleh dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor baru-baru ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, peluang PN untuk menang PRK Kuala Kubu Baharu agak tipis jika mereka hanya bergantung kepada undi satu kaum iaitu orang Melayu semata-mata.

Ini kerana katanya, pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan landskap politik Malaysia berubah dengan sangat mendadak kerana tiada parti tunggal mampu menang lebih dua pertiga kerusi Parlimen atau DUN dan membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Untuk menang pilihan raya dan membentuk kerajaan yang stabil, sesebuah parti politik perlu mendapat dokongan pengundi pelbagai etnik yang mewakili aspirasi nasional.

“Buat masa ini kerjasama PH-BN sangat strategik untuk masa depan politik Malaysia. UMNO menyedari situasi ini, sebab itulah mereka membuat keputusan untuk menyokong calon Kerajaan Perpaduan di KKB ini,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!