Terengganu tidak amal politik dendam, menindas - Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengulangi pendirian untuk tidak mengamalkan politik dendam dan tindas-menindas kerana ia tidak mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak malah hanya akan merugikan rakyat.

Menurutnya, perbuatan itu merupakan 'kaedah' politik kuno yang wajar ditinggalkan bagi memastikan negara terus maju ke hadapan seiring dengan kepesatan pembangunan global.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan terus menjalinkan hubungan yang erat secara profesional berasaskan peruntukan perundangan bersama kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

"Bagi kerajaan negeri, masa untuk bermain politik dendam, politik tindas-menindas dan sebagainya merupakan politik kuno yang wajar ditinggalkan.

"Jika ada pihak yang tidak boleh meninggalkan budaya politik kuno ini, maka bersedialah untuk ditinggalkan oleh rakyat Malaysia.

"Inilah komitmen kerajaan negeri yang kita berikan dari hari pertama pentadbiran kita sehingga ke saat ini," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan berhubung bayaran royalti minyak yang sepatutnya diterima kerajaan negeri sebagaimana dibangkitkan oleh wakil ahli dewan sepanjang persidangan DUN kali ini.

Jelas Ahmad Samsuri, kerajaan Persekutuan telah membayar sebanyak RM301.7 juta royalti minyak pada tahun ini dimana jumlah tersebut lebih sedikit berbanding anggaran RM762 juta untuk pemberian pertama.

"Jumlah yang diterima itu adalah sebanyak RM172.3 juta untuk emolumen serta RM103.1 juta untuk 'deffered and scheduled payment'.

"Selain itu, RM26.3 juta pula adalah untuk Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Persaraan Perkhidmatan Awam," katanya.

Beliau memberitahu, berdasarkan rekod pada 2023, kerajaan Persekutuan telah membayar sejumlah RM802.2 juta daripada anggaran asal RM1.52 bilion.

Ahmad Samsuri memaklumkan, bayaran balik hutang kerajaan Persekutuan, dengan baki yang belum diberikan untuk tahun 2023 ialah sebanyak RM700 juta.

"Keadaan ini sudah pasti telah menimbulkan gangguan kewangan kepada kerajaan negeri secara mengejut kerana hasil petroleum adalah hak negeri yang diterima sejak sekian lama dan perancangan negeri telah dibuat di atas asas ini.

"Persoalannya yang kita tidak dapat jawab hingga ke hari ini ialah, kenapakah apabila berbeza sahaja fahaman politik, maka terus ada keadaan sebegini?

"Budaya diskriminasi terpilih seperti ini adalah budaya lama kolot politik balas dendam, yang membawa negara kita ke belakang, dan jauh dari keharmonian kerana yang menjadi mangsa akhirnya adalah rakyat yang tidak berdosa," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, Terengganu tidak berhasrat untuk mempersalahkan atau memusuhi sesiapa dalam isu tersebut.

"Manusia yang waras akan tahu bahawa tiada faedah dan tiada manfaatnya untuk sesebuah kerajaan negeri bersifat keras atau bergaduh dengan kerajaan Pusat.

"Ini kerana kita mempunyai objektif yang sama untuk membangunkan negeri dan negara. Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negara juga disumbangkan oleh negeri-negeri," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!