Potensi PKR jadi parti gergasi ditentukan KPI PH

SHAH ALAM - Potensi Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi parti gergasi bergantung kepada petunjuk prestasi utama (KPI) Pakatan Harapan (PH) dalam memerintah negara.

Penganalisis Politik dan Media Sosial, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, politik Malaysia tidak seperti dahulu banyak bergantung kepada tahap prestasi ahli-ahli politik PH dan bagaimana mereka menyelesaikan masalah masyarakat.

Beliau berkata, sekiranya mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik mengikut kehendak rakyat potensi pertukaran mungkin akan ada.

“KPI tetap akan menjadi parameter untuk PKR dinilai. Satu lagi yang tidak boleh elak adalah trend pengundian kaum India kali ini di PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

“Bila teliti pola pengundian di DUN Kuala Kubu Baharu, blok pengundi India adalah penentu kemenangan untuk kerusi. Maka soal kebajikan dan ekonomi pembangunan kaum India menjadi tumpuan utama di sini,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Pada Ahad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu perlu memperkemaskan jentera di semua peringkat dan bergerak dengan lebih agresif agar muncul sebagai gergasi sistem politik Malaysia.

Katanya, dua rangka kerja Keadilan Menang 16 (KEMAS16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 (POP25) perlu dilaksanakan dengan jitu supaya matlamatnya tercapai dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam.

Tambah Sara, inilah masa yang sesuai untuk rakyat menilai sama ada pemerintahan PH dan Barisan Nasional (BN) sekian lama di bawah kerajaan Madani mampu melegakan rakyat selain menjadi kerajaan yang memuaskan hati.

“Setiap parti-parti politik yang bertanding perlu mengambil penilaian serius dengan sesuatu perkara ingin disampaikan oleh rakyat.

“PRK ini mungkin akan menjadi kayu ukur kepada penyatuan politik antara parti-parti lain sebelum melangkah ke medan pertempuran yang lebih besar pada PRU16 akan datang,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!