Pelantikan pengerusi, ahli SPR baharu perlu melalui Jawatankuasa Tetap

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelantikan pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu perlu melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya sepertimana dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan supaya proses tersebut dapat diteliti secara inklusif dan demokratik oleh ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.

“Manifesto pilihan raya PH dan BN menjanjikan bahawa pelantikan bagi jawatan utama akan melalui Jawatankuasa Parlimen.

“Bersih mengulangi gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melaksanakan reformasi proses pelantikan ahli SPR kerana ia amat mustahak, lebih-lebih lagi pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh akan bersara wajib pada Mei depan.

“Seterusnya, beliau berkemungkinan besar akan mempunyai tanggungjawab mengkaji dan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan seorang ahli Parlimen DAP, Khoo Poay Tiong mencadangkan kerajaan melantik bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan untuk menerajui SPR dan menggantikan Abdul Ghani.

Menurut Bersih, ahli SPR perlu dilantik melalui mekanisme yang telus, terbuka, akauntabiliti dan inklusif bagi mendapatkan kepercayaan semua pihak berkepentingan terhadap kebebasan serta kemandirian SPR.

Dalam pada itu, Bersih turut menggesa kerajaan agar segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang kali terakhir dibuat pada 2003 tanpa sebarang pindaan signifikan.

Tambahnya, bengkel libat urus dengan hampir semua parti politik utama di Malaysia dan gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO) telah dilakukan selama lebih dua tahun bermula 2019 hingga 2021.

“Hasil libat urus terbabit, terdapat 19 seksyen dalam akta yang perlu dipinda seperti rasuah, had belanja pilihan raya dan menaikkan hukuman denda bagi setiap kesalahan.

“Selain itu, memasukkan peruntukan baharu bagi memodenkan akta seiring zaman seperti larangan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen, mengaudit belanja pilihan raya oleh calon dan memperkasakan kuasa SPR dengan memberikan kompaun,” ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!