Perlu letak calon tempatan

SHAH ALAM - Calon anak tempatan mempunyai kelebihan serta dilihat mampu memberi nilai tambah kepada parti-parti politik untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei nanti.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr Ariff Aizuddin Azlan tidak menolak kemungkinan bahawa calon yang akan diletakkan kali ini mempunyai latar belakang sebagai anak tempatan kerana mereka mempunyai kelebihan dalam struktur sosial pengundi di Kuala Kubu Baharu.

“Calon tempatan itu lebih mengenali selok-belok keperluan dan kehendak pengundi berbanding calon luar yang memerlukan waktu untuk menjadi lebih serasi dengan pengundi tempatan.

“Desas-desus menunjukkan bahawa status quo adalah kekal di mana calon yang hendak diletakkan daripada DAP. Memandangkan ini sekadar PRK, ia tidak mengubah tampuk kepimpinan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Namun pengakhiran PRK ini akan memberi kesan ke atas persepsi. Oleh itu, penting bagi Pakatan Harapan (PH) untuk memaparkan kualiti calon yang boleh dijadikan sebagai ukuran untuk memenangi PRK ini,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagi Perikatan Nasional (PN) pula, Ariff Aizuddin berpandangan, calon Melayu akan diperkenalkan oleh mereka kerana objektif parti itu adalah untuk memenangi sebanyak mungkin undi Melayu di kawasan tersebut.

“Kalau kita lihat dari kaca mata PN, sudah tentu mereka akan mengambil kira latar belakang kaum terlebih dahulu sebelum menerjah masuk ke gelanggang PRK. Sama ada calon itu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas, itu masih lagi terlalu awal untuk disimpulkan.

“Di peringkat PH pula, dijangkakan bahawa mereka juga menggunakan strategi berkesan untuk memikat hati pengundi dengan meletakkan calon yang mampu untuk berinteraksi dengan pengundi,” jelasnya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Kee Hiong, 58, menjadi ADUN Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak tahun 2013.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Mengulas tentang kenyataan pengerusi penyelarasan gerak kerja jentera Kerajaan Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung calon bertanding bukan atas nama parti, Ariff Aizuddin berpendapat, strategi digunakan itu tidak semestinya akan menguatkan lagi calon mewakili Kerajaan Perpaduan itu untuk menang.

“Saya melihat PRK kali ini akan didominasi oleh isu yang didendangkan oleh parti bertanding. Walaupun fenomena ini berlangsung di peringkat negeri, saya yakin isu-isu yang berbangkit adalah berdasarkan apa yang berlaku di peringkat persekutuan.

“Saya melihat bahawa kedua-dua parti berpotensi untuk menang PRK kali ini. Namun, jika diukur melalui kaca mata status quo, DAP dan PH berpeluang untuk menafikan kemenangan PN dengan majoriti tipis kerana sebahagian besar pengundi mungkin memilih untuk tidak mengundi di dalam PRK ini berdasarkan beberapa faktor seperti ekonomi dan kedudukan geografi,” ujarnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah turut senada di mana calon tempatan mempunyai lebih banyak kelebihan dan diberi keutamaan berbanding calon luar.

“Namun, tidak dinafikan, calon yang lebih dikenali dan diterima masyarakat setempat biarpun bukan anak tempatan boleh menjadi penyumbang kepada kemenangan,” tambahnya.

Ketika ditanya tentang ciri-ciri atau penilaian calon yang bakal diketengahkan oleh parti-parti politik, Mohd Azmir berkata, personaliti calon menjadi kriteria utama.

“Bagaimanapun, dalam konteks parti, pastinya ada beberapa faktor lain seperti hierarki, jawatan dan juga pengalaman. Parti juga harus memikirkan tentang penerimaan masyarakat setempat yang sangat penting dalam PRK berbanding PRU.

“Jika komposisi etnik menjadi perkiraan, maka PN mempunyai kelebihan. Tetapi sekiranya faktor parti atau tradisi, maka kekuatannya pada PH. Justeru, ia terletak kepada pengundi untuk membuat pilihan yang bijak dan bukan beremosi,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!