Pelaksanaan titah proses pengampunan tanggungjawab kerajaan

SHAH ALAM - Kerajaan yang memerintah tetap menjadi sebahagian daripada pihak yang bertanggungjawab dalam menentukan pelaksanaan atau titah pelaksanaan proses pengampunan.

Pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pengampunan adalah pada Yang di-Pertuan Agong dengan sokongan dan peranan Lembaga Pengampunan yang memberikan nasihat kepada Seri Paduka Baginda.

Bagaimanapun katanya, dalam perlembagaan tidak menyebut kaedah membuat keputusan, sama ada Seri Paduka Baginda terikat dengan nasihat Lembaga Pengampunan atau tidak.

“Cuma dalam konteks kes yang berlaku sekarang ini, apabila Titah Adendum (tambahan) itu dikatakan mengandungi arahan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan tahanan rumah, maka timbul persoalan dari sudut pelaksanaan titah.

“Walaupun bidang kuasa Lembaga Pengampunan ini di bawah Yang di-Pertuan Agong tetapi pelaksanaan kepada keputusan pengampunan itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya yang menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan tahanan di rumah adalah Titah Diraja.

Tambah Muhammad Fathi, dalam hal ini, kerajaan yang memerintah tetap menjadi sebahagian daripada pihak yang bertanggungjawab dalam menentukan pelaksanaan atau titah pelaksanaan proses pengampunan itu.

Apa yang penting katanya, adalah penjelasan kerajaan berkaitan isu titah tambahan, selepas dua bulan pengampunan itu dimaklumkan kepada awam.

“Jika titah tambahan ini benar-benar wujud, kenapa ia tidak dilaksanakan. Adakah kerana titah berkenaan bertentangan dengan sistem hukuman yang ada di negara kita yang tidak memberikan peruntukan atau garis panduan berkaitan dengan tahanan di rumah?

“Jadi, saya rasa kerajaan perlu beri penjelasan supaya isu ini tidak terus menjadi persoalan masyarakat,” ujarnya.

Jelas Muhammad Fathi, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menyebut secara ringkas, antara bentuk pengampunan itu adalah dari sudut meringankan hukuman.

Justeru katanya, jika titah tambahan itu wujud, ia mungkin dibuat berdasarkan kepada cadangan untuk meringankan hukuman dari sudut tempat tahanan dilaksanakan iaitu bukan di penjara tetapi sebaliknya di rumah.

“Bagaimanapun, kita tak nafikan bahawa sistem perundangan yang ada termasuklah Akta Penjara dan undang-undang lain tidak menyediakan satu peruntukan yang khusus berkaitan tahanan di rumah.

“Jadi, ini mungkin menjadi kekangan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakannya. Masalah itu mungkin boleh diatasi dengan pindaan undang-undang dan sebagainya,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!