MCA tetap pendirian tidak sertai kempen PRK KKB

SHAH ALAM - Datuk Chong Sin Woon menafikan desas-desus mengatakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bakal mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung MCA itu berkata, Ka Siong tidak pernah memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan atau rundingan dengan Anwar berhubung pendirian parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

“Presiden MCA tidak pernah memaklumkan kepada kami bahawa beliau akan mengadakan pertemuan atau rundingan dengan Perdana Menteri berhubung pendirian parti pada PRK KKB.

“Justeru, saya menganggap MCA masih kekal dengan pendirian kami yang diputuskan melalui jawatankuasa pembangunan politik,” jelasnya.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Yahya Shaari bahawa mesyuarat MPP telah diadakan pada petang Ahad.

**media[2623914]**

Katanya, antara perkara dibincangkan ialah pertemuan antara Presiden PKR dengan Ka Siong mengenai keputusan MCA yang enggan terlibat dalam gerak kerja kempen PRK DUN KKB pada 11 Mei ini.

Tambah Yahya, keputusan MIC dan MCA enggan terlibat dalam kempen PRK KKB sememangnya mencalarkan sedikit motivasi dan keyakinan jentera Kerajaan Perpaduan bagi mempertahankan kerusi penting berkenaan.

Bagaimanapun, Yahya percaya masih ada ruang solusi rundingan setiakawan yang boleh diusahakan antara PH dan Barisan Nasional (BN).

“Kita sudah tahu yang Presiden MIC (Tan Sri SA Vigneswaran) telah menyatakan komitmen kepada Perdana Menteri untuk membantu kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

“Kini, ahli MPP PKR baru dimaklumkan Presiden MCA pula dijangka mengadakan pertemuan dengan Anwar dalam masa terdekat bagi membincangkan hal kempen PRK.

“Saya percaya pertemuan itu akan meleraikan kekusutan antara PH dan MCA.

"Justeru, saya yakin MCA akan kembali membantu kempen jentera Kerajaan Perpaduan kelak,” katanya kepada Sinar Premium.

Terdahulu, Vigneswaran berkata, MIC tidak akan turun berkempen pada PRK yang sama kerana tidak ditandingi calon BN.

Pada 22 Mac, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koalisi itu tidak akan menuntut kerusi Kuala Kubu Baharu dan memberi laluan kepada rakan parti penyandang dalam Kerajaan Perpaduan iaitu DAP.

Sementara itu, Sin Woon turut menolak tanggapan sebarang keputusan parti komponan BN untuk ‘memboikot’ kempen PRK KKB adalah belum muktamad dan perlu dipertimbangkan terlebih dahulu melalui Dewan Tertinggi BN.

**media[2623915]**

“Ingin saya jelaskan keputusan dibuat MCA pada saat ini adalah berasaskan pendirian peribadi dan bukan mewakili pendirian koalisi BN.

“Saya fikir tiada keperluan untuk MCA menunggu keputusan Dewan Tertinggi BN bagi memuktamadkan pendirian kami.

“Setakat ini, saya juga tidak dimaklumkan BN bakal mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi koalisi ini dalam masa terdekat.

"Jadi, saya tidak nampak keperluan untuk kami memberi penjelasan kepada rakan komponen BN,” tegasnya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA mengeluarkan kenyataan bahawa parti gabungan BN itu tidak akan berkempen pada PRK KKB jika calon kerajaan bukan daripada BN.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28