PRK Kuala Kubu Baharu: Bersatu yakin pengundi muda sokong PN

KUALA SELANGOR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin pengundi muda akan memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Ketua Penerangan Srikandi Bersatu, Nurul Syazwani Noh berkata, sokongan itu diterjemahkan setiap kali pertemuan dengan golongan berkenaan.

"Apabila kita turun mendekati pengundi muda, kita boleh nampak mereka bersama-sama menyatakan sokongan kepada PN," katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri DUN Permatang di Glass Hall VI Boutique Hotel, Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Sabtu.

Kira-kira 3,000 tetamu termasuk Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir pada majlis berkenaan.

Bagaimanapun, Nurul Syazwani berkata, Bersatu tidak boleh berasa selesa sebaliknya terus bekerja bagi memenangi hati pengundi di DUN berkenaan.

"Kita kena bekerja kuat dan lebih mendekati mereka walaupun sebelum ini, kita melihat dua DUN di Parlimen Hulu Selangor iaitu DUN Batang Kali dan Hulu Bernam dimenangi PN," ujar beliau.

Justeru, katanya, tumpuan juga akan diberikan kepada pengundi di saluran satu bagi menyokong calon PN.

Mengulas mengenai jentera Srikandi Bersatu pada PRK Kuala Kubu Baharu, Nurul Syazwani memberitahu, semua Srikandi di seluruh bahagian di negeri ini dikerah bagi membantu jentera dan kempen PRN.

Jelas beliau, srikandi juga akan bekerja keras dan menjaga semua 16 pusat daerah mengundi (PDM) bagi memastikan sokongan pengundi kepada PN.

"Kami juga merangka beberapa program bagi menambat hati pengundi di DUN berkenaan.

"Mungkin semasa PRN (Pilihan Raya Negeri), kita tidak merapati pengundi di sana, namun kali ini tumpuan sepenuhnya akan digerakkan bagi meraih sokongan pengundi.

"Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, maka tiada cara lain melainkan kita kena turun padang untuk menjelaskan beberapa isu kepada rakyat," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!