AMK hargai jiwa besar Pas sokong isu kepentingan negara

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menghargai jiwa besar Pas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu membabitkan kepentingan negara.

Ketuanya, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, sikap pemimpin Pas menunjukkan perbezaan ijtihad politik parti tidak semestinya sentiasa bertembung.

Menurut beliau, tidak salah parti politik untuk bekerjasama dalam mendepani isu-isu negara, terutama soal kepentingan umat sejagat seperti isu Palestin, ekonomi dan kesejahteraan negara.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Pas dan Ahli Jawatankuasa Pas, Dr Zuhdi Marzuki secara khususnya yang berjiwa besar dalam menyambut kejujuran Perdana Menteri selaku pemimpin negara bagi seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, Pas sebelum ini menerusi Zuhdi membuat kenyataan positif untuk kepentingan negara.

Ujar beliau, kenyataan Zuhdi itu dibuat susulan kelantangan dan usaha Anwar dalam isu Palestin, khususnya menyelamatkan Gaza daripada kekejaman Zionis.

"Usaha pentadbiran kerajaan Malaysia menjayakan misi membawa pulang keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri dari Gaza mendapat banyak reaksi positif termasuk pemimpin Pas," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!