Langkah adil beri peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang

KULAI – Hasrat kerajaan yang bersetuju mempertimbangkan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang disifatkan sebagai satu langkah adil.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, langkah tersebut dilihat bakal membantu pihak pembangkang yang merupakan wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP berkata, perkara tersebut bakal memberikan manfaat kepada pengundi (penduduk) di kawasan berkenaan.

“Saya rasa ia adalah suatu perkara yang adil bagi Kerajaan Madani untuk sampaikan peruntukan kepada pihak pembangkang supaya dapat dipastikan bahawa penduduk di kawasan mereka tidak dianak tirikan.

“Macam kami buat dahulu, masa itu Perdana Menteri ialah Datuk Seri Ismail Sabri; kita dah buat perjanjian MOU (perjanjian persefahaman) dan kita letakkan bebeapa komitmen kita sebagai pembangkang.

“Kami masa itu juga menyokong untuk sokong bajet dan juga rang undang-undang yang dibentangkan kerajaan pada masa itu kerana negara masih dalam pandemik Covid-19 dan perkara paling penting ketika itu adalah kestabilan politik,” katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Riang Ria Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat DUN Bukit Batu dan Program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Penghulu Mukim Sedenak, pada Sabtu.

Difahamkan, seramai 225 penerima bersama keluarga hadir pada majlis berkenaan bagi menerima sumbangan.

Hadir sama, ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

Nie Ching berkata demikian bagi mengulas mengenai persetujuan kerajaan bagi mempertimbang serta menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Nie Ching tidak dapat mengulas ketika ditanya mengenai jumlah peruntukan diterima wakil rakyat pembangkang.

“Sebenarnya, saya tak pasti berapa jumlah yang akan disalurkan, tetapi saya rasa kita perlu ada titik permulaan mungkin masa ini tak sama tetapi pada masa akan datang ia boleh ditambah baik,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!