'Pembangkang tidak akan dapat peruntukan penuh'

SHAH ALAM - Jumlah peruntukan yang akan disalurkan kepada ahli Parlimen pembangkang dijangka separuh daripada angka diterima oleh wakil rakyat kerajaan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, jangkaan itu mengambil kira perkembangan semasa termasuk faktor kerajaan ingin memenuhi 'janji' yang dibuat.

Malah, sudah tiba masanya untuk kerajaan mewujudkan dasar khusus mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen tanpa mengira blok.

“Saya melihat persetujuan kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang ini satu keputusan yang bijak demi kepentingan jangka panjang rakyat.

“Perlu diingat bahawa kawasan yang ditakluk pembangkang itu bukan semua pengundinya pilih pembangkang tapi ada sebahagian daripada mereka yang pilih sokong kerajaan. Jadi perkara inilah yang perlu diambil kira.

“Jadi, keputusan kerajaan untuk pertimbang peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang ini diharap memberi lembaran baharu kepada politik negara selari dengan semangat demokrasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jangkaan jumlah peruntukan yang akan disalurkan kerajaan kepada wakil rakyat pembangkang.

Sementara itu, ditanya kesan akan diterima kerajaan susulan perkembangan terbaharu itu, Jeniri berkata, ia secara tidak langsung berupaya meningkatkan reputasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Datuk M Periasamy berkata, sudah tiba masanya kerajaan membuang sikap lapuk iaitu tidak bersikap adil dalam isu peruntukan kepada wakil rakyat.

“Sudah pasti kita ingin melihat jumlah peruntukan yang disalurkan kepada ahli Parlimen pembangkang akan sama jumlahnya seperti wakil rakyat blok kerajaan. Kalau dikira cukai yang dibayar rakyat sama sahaja walaupun mereka tinggal di kawasan kerajaan atau pembangkang.

“Rakyat berhak untuk menikmati kekayaan bersama. Siapa pun wakil rakyat yang dipilih itu hak masing-masing," katanya.