PRK Kuala Kubu Baharu: MCA tidak turun padang jika calon bukan daripada BN

SHAH ALAM - MCA mengambil keputusan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon yang dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).

Perkara tersebut dinyatakan Jawatankuasa Pembangunan Politik parti itu yang bermesyuarat di Ibu Pejabat pada Jumaat.

“Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA mengadakan mesyuarat hari ini telah membincangkan perkara berkaitan PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Selepas perbincangan yang teliti, mesyuarat telah membuat keputusan sebulat suara bahawa jika calon dikemukakan bukan daripada BN, maka MCA tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan dibuat parti berkenaan sama seperti rakan komponen BN iaitu MIC yang menyatakan sebab sama.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28