Kerajaan semakin hilang arah, kepercayaan rakyat - Pemuda PN

SHAH ALAM - Kerajaan dilihat semakin hilang arah dalam mentadbir negara serta bergerak menuju hala yang salah.

Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN), Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pemimpin kerajaan juga menzahirkan sikap hipokrit dan pelupa dalam menegakkan janji politik mereka suatu ketika dahulu.

"Jika dahulu, gula-gula dan rasuah politik amat dibenci oleh mereka, namun Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam lawatan kerja minggu ini secara kebetulan menganugerahkan projek bernilai RM5.21 juta kepada Hulu Selangor.

"Apakah Hulu Selangor akan diberikan projek ini jika Kuala Kubu Baharu bukan dalam situasi akan menghadapi pilihan raya atau adakah kebetulan sahaja projek itu dianugerahkan dalam tempoh menghadapi PRK (pilihan raya kecil)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, Khairul Nadzir turut menegaskan, rakyat telah dikejutkan dengan berita penganugerahan kontrak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada syarikat HeiTech Padu yang mengaitkan bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador.

Justeru, beliau berkata, banyak persoalan berkaitan aspek tadbir urus dan tatakelola perlu dijawab kerajaan secepat mungkin.

"Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana elemen tatakelola menjadi azimat yang dilaungkan Perdana Menteri.

"Sentimen tidak yakin rakyat bukan lagi sembang air liur dan cakap-cakap kedai kopi, (tetapi) kegagalan demi kegagalan kerajaan membawa negara menuju hala tuju yang betul.

"Oleh sebab itu, Pemuda PN menggesa rakyat untuk mengajar pentadbiran Kerajaan Madani agar tidak sewenang-wenangnya cuba merendahkan nilai intelek dan kebolehan rakyat," tegasnya.

Sementara itu, Khairul Nadzir berkata, PRK Kuala Kubu Baharu menjadi medan paling hampir untuk rakyat mengajar kerajaan gagal.

"Rakyat tidak wajar terus diperbodohkan dengan kegagalan kerajaan tanpa kita mengajar mereka pada PRK nanti," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!