'Isu nasional jadi modal pembangkang di Kuala Kubu Baharu'

HULU SELANGOR - Isu nasional seperti politik semasa dan kenaikan harga barang dijangka akan menjadi modal pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kubu Baharu, Muhamad Don Radzuan berkata, isu Raja, agama dan kaum (3R) juga dijangka turut meningkat menjelang PRK.

"Parti-parti yang bertanding akan menggunakan pelbagai isu pada PRK Kuala Kubu Bharu dan saya percaya pembangkang akan menggunakan isu-isu nasional ini.

"Bagi pihak kerajaan kita (peringkat akar umbi) tidak bawa isu nasional, kami bawa neratif negeri dengan amalan politik matang, adil dan integriti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ampang Pecah, Syed Hidayat Syed Hassan pula berkata, jentera parti di peringkat akar umbi sudah bersiap sedia berdepan PRK.

Ujarnya, apa sahaja isu digunakan pembangkang tidak akan mempengaruhi gerak kerja mereka sebaliknya keperluan penduduk setempat yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan.

"Apabila pengumuman calon (PRK Kuala Kubu Baharu) disahkan secara rasmi kami akan terus bergerak. Malah kami sudah lama bersedia dan akan bekerja dalam apa keadaan sekalipun.

"Bagi kami, apa yang akan diketengahkan adalah kemajuan yang perlu dibuat (di Kuala Kubu Baharu), kemajuan yang boleh menaikkan taraf hidup dan ekonomi rakyat setempat," katanya.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei manakala pada 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!