Beri pembangkang peruntukan tindakan luar biasa

IPOH - Keputusan kerajaan untuk memberikan ahli Parlimen pembangkang peruntukan disifatkan sebagai tindakan luar biasa.

Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, di sebalik tindakan tersebut, ahli Parlimen pembangkang seharusnya menghargai dan mengiktiraf usaha mulia kerajaan dalam memastikan semua rakyat tanpa mengira kawasan terus terbela.

Menurutnya, peruntukan yang akan diberikan nanti haruslah digunakan bagi tujuan membantu kebajikan rakyat dan mengekalkan keharmonian di dalam negara.

"Saya sebenarnya lebih cenderung kepada penyelaras peruntukan kerajaan adalah dalam kalangan pegawai kanan di peringkat daerah contohnya seperti pegawai daerah, bukannya ahli Parlimen pembangkang.

"Jika benar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin memberikan peruntukan kepada pembangkang pun, perlu adanya syarat dan panduan yang ketat bagi memastikan ia sampai kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Kar Hing yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menegaskan peruntukan disalur kepada pembangkang itu tidak harus dijadikan sebagai sumber dan alat demi kepentingan politik seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

Jelasnya, sebagai contoh bantuan kotak makanan atau apa sahaja peruntukan kerajaan tidak boleh ditukar kotak bungkusan untuk memperlihatkan seolah-olahnya sumbangan itu daripada wakil rakyat pembangkang.

Beliau berkata, mereka seharusnya menjadi pembangkang bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan sentimen yang tidak membantu dalam soal pembangunan negara.

Pada 18 April, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, sehubungan itu, satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu juga berkata, persetujuan itu diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung di Sri Perdana, Putrajaya, pada Rabu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!