Isu nasional boleh jejas sokongan pengundi

SHAH ALAM - Isu nasional yang tidak ditangani dengan baik seperti politik semasa, kenaikan harga barang, pelaksanaan subsidi bersasar dan sentimen perkauman dilihat boleh menjejaskan sokongan pengundi terhadap kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ini kerana rakyat melihat kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lewat menyelesaikan perkara berbangkit.

“Umum mengetahui isu-isu seperti yang disebut tadi memberi impak kepada sokongan terhadap kerajaan sedia ada sebab perkara berkenaan isu besar dan melibatkan semua peringkat rakyat dan ia bakal mempengaruhi pola PRK akan datang ini.

“Isu nasional sememangnya menjadi penentu sokongan pengundi di Kuala Kubu Baharu nanti. Bagi saya, kerajaan masih mempunyai peluang menarik kembali sokongan terutamanya golongan muda jika pasukan media sosial memainkan peranan dengan sebaiknya dalam memberi jawapan penyelesaian segera,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada isu politik semasa, kenaikan harga barang, pelaksanaan subsidi bersasar boleh menjejaskan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu nanti.

Sementara itu, ditanya sama ada peluang lebih terbuka kepada pembangkang dengan mengambil kira situasi yang dihadapi kerajaan ketika itu, Hussain Yusri mengakui perkara tersebut.

Ujarnya, pembangkang mempunyai merit atau peluang besar susulan ‘kelemahan’ pengurusan kerajaan ketika ini.

“Jika kerajaan tidak berusaha menyelesaikan isu besar melibatkan rakyat sebelum berlangsungnya PRK di Kuala Kubu Baharu, maka peluang pembangkang untuk menang lebih cerah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim turut mengakui jika isu berkaitan rakyat tidak ditangani dengan segera ia bakal mempengaruhi sokongan khususnya daripada segmen pengundi Melayu.

“Kerajaan sebenarnya mempunyai justifikasi mencukupi untuk memberi penjelasan berkaitan isu harga barang, kos sara hidup, subsidi bersasar, polisi cukai dan sebagainya ini.

“Namun kerajaan perlu meningkatkan lagi kecekapan sistem penyampaian, khususnya menggunakan medium-medium komunikasi yang lebih mudah agar sampai ke kumpulan sasar akar umbi, contohnya menggunakan kumpulan WhatsApp komuniti,” katanya yang juga Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Tambah Mohd Yusri, perlu diakui bahawa dalam aspek sistem penyampaian ini, pembangkang khususnya Pas memiliki mekanisme penyampaian yang sangat ampuh kerana memiliki rantaian komunikasi akar umbi yang sangat cekap di peringkat komuniti.