Mampukah agenda reformasi PKR tertunai selepas 25 tahun?

PADA 4 April lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut ulang tahun penubuhan parti berkenaan yang ke-25.

Menyingkap sejarah parti itu, PKR ditubuhkan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 dan Timbalan Presiden UMNO beberapa hari sebelum itu.

Jika mengambil kira sejarah parti kerajaan dan pembangkang utama di negara ini, pengaruh PKR tidak dinafikan begitu besar dalam memperjuangkan agenda reformasi.

Bermula 1999 dengan nama Parti Keadilan Nasional (Keadilan) sebelum bertukar kepada PKR, ia terus mencorak politik Malaysia dengan peranan sebagai kumpulan pembangkang utuh.

Anwar selaku sosok besar politik pembangkang di Malaysia dan kini dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX) pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), melalui pengaruhnya berjaya memastikan PKR relevan dalam politik Malaysia.

Lihat sahaja bagaimana parti itu mampu memperkukuhkan peranan di Selangor sejak PRU12 dengan kejayaan Pakatan Rakyat (PR) mendominasi Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, sekali gus menyebabkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali gagal memperoleh majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen.

Setelah PR berpecah, PKR meneruskan peranan pembangkang di bawah pakatan baharu, Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikannya menewaskan BN dalam PRU14 dengan dibantu pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai PH ketika itu.

PKR yang kini dianggotai lebih sejuta ahli turut melalui proses kematangan demokrasi politik apabila pasca PRU14 memperlihatkan pergolakan dalaman PKR.

Di saat pengaruh PKR dan PH dianggap semakin lemah kesan kejatuhan kerajaan PH 1.0 pada Mac 2020, kemunculan semula Rafizi Ramli yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden PKR serta Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dalam barisan kepimpinan baharu telah mengubah momentum parti berkenaan.

Buktinya PKR bersama PH kemudiannya berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan hasil sokongan bekas seteru ketat, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti kecil lain pasca PRU15.

Justeru, laungan reformasi tidak hanya sebagai slogan bahkan sudah menjadi dasar dan pendekatan untuk membina Malaysia.

Bagaimanapun, pada saat PKR merangka acara khas pada 21 April ini bagi meraikan sambutan Jubli Perak penubuhan parti itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mempersoalkan komitmen PKR untuk menjayakan agenda reformasi dilaung-laungkan selama ini.

Melalui satu warkah terbuka, bekas Pengerusi PKR Johor itu melontarkan enam persoalan penting terhadap kepimpinan PKR mengenai hala tuju terkini parti, komitmen PKR dalam melaksanakan reformasi institusi serta strategi PH untuk meningkatkan sokongan pengundi Melayu Islam.

Persoalan Hassan itu disifatkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai satu lontaran pandangan yang ‘berani, tepat dan relevan’.

Pada saat PKR berevolusi daripada sebuah organisasi massa rakyat di jalanan bertukar kepada tulang belakang Kerajaan Perpaduan, Khairy melalui siaran podcast Keluar Sekejap bersetuju dengan pandangan PKR masih terperangkap dalam dilema penentuan keutamaan meraih sokongan pengundi Melayu untuk terus mengekalkan Putrajaya atau memenuhi agenda reformasi dituntut penyokong tegarnya.

Ujarnya, PKR masih dilihat memerlukan sokongan tambahan 'empat inci' daripada segmen pengundi Melayu dalam memastikan Kerajaan Madani terus bertahan pasca PRU16 dengan sokongan teras daripada penyokong parti itu dan PH sendiri dianggap sudah tepu.

“Persoalannya, adakah PKR boleh bergantung kepada UMNO untuk mengembalikan sokongan pengundi Melayu kepada Kerajaan Perpaduan pada saat siri keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca PRU15 memperlihatkan dominasi Perikatan Nasional (PN) terhadap segmen itu?

“Apa pun, saya percaya PKR dan PH tidak akan boleh menguasai Putrajaya tanpa sokongan ‘empat inci’ segmen pengundi Melayu.

“Keadaan ini menjadi dilema terbesar PKR kerana parti itu kini terpaksa dilihat berkompromi dengan parti-parti dalam Kerajaan Madani terutama UMNO dalam isu-isu membabitkan integriti. Ia mengundang persoalan adakah PKR tidak lagi menjulang semangat reformasi yang dilaung-laung sewaktu awal penubuhan parti itu?” kata Khairy.

Berfasa

Mengulas pandangan Khairy, bekas Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub mengakui pendekatan kompromi adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan PKR dalam memastikan kewujudan sebuah Kerajaan Perpaduan benar-benar stabil dan harmoni.

Bagaimanapun, isu kompromi tidak sesekali menghalang PKR daripada meneruskan agenda reformasi institusi dan pentadbiran negara dengan perkara itu hakikatnya sudah pun berjalan secara berfasa.

“Saya yakin agenda reformasi masih sedang berjalan dengan agak teratur walaupun mungkin berlaku sedikit kelembapan dalam sektor tertentu.

“Dengan tempoh penggal pentadbiran Kerajaan Madani berbaki setahun setengah, saya percaya PMX akan memastikan agenda reformasi itu akan terus berlaku walaupun ia tidak drastik. Bak kata peribahasa ‘Ikan biar tertangkap, air jangan keruh’,” katanya kepada Sinar Premium.

Belajar daripada kesilapan

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Generasi Keadilan, Yusmadi Yusoff menolak pandangan PH dan PKR terpaksa berkompromi dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menstabilkan kuasa sehingga agenda reformasi dilihat tertangguh.

Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau itu sebaliknya menegaskan, PKR sudah belajar daripada kesilapan Kerajaan PH 1.0 pasca PRU14 yang dilihat terlalu ghairah menyegerakan sebahagian agenda reformasi secara radikal.

“Untuk PKR kekal relevan, mesti ada satu strategi mantap dalam memastikan bagaimana agenda reformasi terlaksana dengan bijaksana.

“Justeru, PMX bukan berkompromi, sebaliknya menggunakan pendekatan bijaksana secara muafakat bersama parti-parti dalam Kerajaan Madani dalam menguruskan agenda reformasi pada kerangka lebih besar demi mencapai agenda lebih besar,” katanya.

Berkenaan sejauh mana kemampuan Kerajaan Madani menawan sokongan pengundi Melayu pada PRU16, Mustaffa Kamil mengakui sasaran itu sangat sukar tetapi tidak mustahil dicapai.

“Seluruh kepimpinan Kerajaan Madani perlu benar-benar turun ke peringkat akar umbi demi menyantuni rakyat selain wajib memastikan setiap perancangan model ekonomi Malaysia Madani yang dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Jika naratif Malaysia Madani berjaya diimplementasikan dan diterjemahkan melalui program-program konkrit, tidak mustahil golongan pengundi Melayu mampu beralih kepada Kerajaan Perpaduan pada PRU16,” ujar bekas Setiausaha Agung PKR berkenaan.

Bagi Yusmadi, isu keresahan sokongan pengundi haluan kiri, tengah atau kanan hanya timbul apabila sistem demokrasi di negara ini tidak berfungsi sebaiknya.

“Sekiranya Kerajaan Madani berjaya memastikan agenda reformasi serta sistem demokrasi berperlembagaan di Malaysia berjalan dengan lancar dan adil, saya kira keresahan kelompok aliran politik tertentu tidak lagi timbul.

“Bagaimana kaedah PKR dan Kerajaan Perpaduan dapat membina negara secara efektif, adil dan saksama adalah tumpuan utama yang harus menjadi objektif parti itu. Jika perkara ini difokuskan sepenuhnya, politik identiti akan semakin kurang dibicarakan,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28