Tiga individu ada potensi jadi calon

SHAH ALAM - Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Saripah Bakar antara salah seorang daripada tiga nama disebut-sebut bakal dipertimbangkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei depan.

Nama Saripah difahamkan antara yang dicadangkan kepimpinan DAP Parlimen Hulu Selangor bagi menarik sokongan pengundi Melayu yang mewakili kira-kira 46 peratus daripada keseluruhan lebih 40,000 pengundi berdaftar di kawasan DUN Kuala Kubu Baharu.

DUN Kuala Kubu Baharu adalah berstatus ‘kerusi campuran’ yang mempunyai pecahan pengundi Melayu sebanyak 46 peratus, Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (enam peratus).

Faktor demografi pengundi bercampur ini secara atas kertas dianggap memberi kelebihan kepada PH berbanding pembangkang.

Berikutan itu, sebilangan pemerhati politik berpandangan pemilihan Saripah sebagai calon PRK Kuala Kubu Baharu adalah tepat dan penting bagi membuktikan DAP bukan parti perkauman atau cauvinis Cina, bahkan mewakili masyarakat pelbagai kaum.

Selain bergiat aktif dalam politik dan menjalankan tugas selaku ahli majlis perbandaran, Saripah sering terlibat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pertubuhan kebajikan terutama berkaitan dengan orang kurang upaya (OKU) di sekitar Parlimen Hulu Selangor.

Sewaktu dihubungi Sinar Premium, Saripah menegaskan beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan PH dan DAP untuk menentukan sama ada namanya dicalonkan.

“Saya tidak boleh beri ulasan lanjut, kita kena tunggu pengumuman parti.

“Bagaimanapun, secara umumnya saya yakin PH akan melakukan usaha terbaik untuk mempertahankan kerusi yang pernah disandang mendiang Lee Kee Hiong selama tiga penggal.

“Insya-ALLAH kita mampu mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dengan rekod perkhidmatan cemerlang ditonjolkan mendiang,” katanya.

Selain Saripah, dua lagi nama disebut-sebut turut berada dalam senarai pemilihan DAP sebagai calon ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Digital, Mandeep Singh dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Alice Choo Foong Thye.

Mandeep yang berasal dari Kalumpang, Hulu Selangor bergiat aktif sebagai aktivis daripada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).

Nama Mandeep juga pernah disebut-sebut sebagai calon DAP di DUN Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu.

Bagaimanapun, DAP memutuskan untuk mengekalkan mendiang Kee Hiong bagi penggal ketiga.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28