Pas akan teliti deraf MoU peruntukan ahli Parlimen pembangkang

KOTA BHARU - Pas menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang pada dasarnya sudah bersetuju mempertimbangkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, pihaknya akan meneliti Memorandum Persefahaman (MoU) yang dikatakan akan diberikan kepada ahli Parlimen terbabit.

"Kita menyambut baik keputusan itu namun akan meneliti kandungan MoU tersebut terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Tuan Ibrahim juga berharap keputusan berkenaan akan mengembalikan fungsi semak dan imbang pembangkang yang lebih efektif untuk membangunkan negara.

"Peruntukan itu juga diharap dapat diselaraskan dengan semua negeri dalam keadaan sama rata," katanya.

Tuan Ibrahim sebelum itu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV.

**media[2618592]**

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Sehubungan itu, satu deraf MoU akan dirangka dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.

Tuan Ibrahim memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyebut perkara itu di Parlimen dan kerajaan sedia berunding dengan pembangkang.

"Kita tidak dapat memberi sebarang jaminan setakat ini dan akan menunggu serta melihat hasil mesyuarat Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu," katanya.